Tiket laris, penganjur konsert Padi Reborn salur sumbangan bantu asnaf - Utusan Malaysia

Tiket laris, penganjur konsert Padi Reborn salur sumbangan bantu asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penganjur Konsert Padi Reborn 25 Years, Qew Communications Sdn. Bhd., berhasrat menyalurkan sebahagian hasil jualan tiket kepada persatuan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu kanak-kanak asnaf.

Pengarah Qew Communications, Datin Rahizahwati Yahya berkata, niat murni itu tercetus selepas tiket konsert yang akan berlangsung Sabtu ini, habis terjual.

“Sehubungan itu, kami berhasrat menyalurkan sebahagian daripada hasil jualan tiket kepada persatuan kanak-kanak asnaf.

“Setiap RM1 daripada jualan tiket itu akan kami sumbangkan kepada persatuan terbabit,” katanya pada sidang media Padi Reborn 25 Years.

Sementara itu, vokalis kumpulan Padi Reborn, Fadly, turut memuji usaha murni penganjur dan berbesar hati apabila konsert tersebut turut menjadi platform untuk mereka berbuat amal, di samping menghiburkan peminat.

Ditanya mengenai persiapan konsert yang akan berlangsung di Zepp KL, Fadly berkata, mereka teruja dapat melepaskan rindu bersama peminat setelah kali terakhir beraksi di negara ini pada 2018.

Konsert tersebut turut menampilkan Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid untuk berpadu suara.

Mereka akan membawakan lagu popular masing-masing sebagai tanda menghargai kerjasama antara pengkarya kedua-dua negara.

Padi Reborn yang dianggotai oleh Fadly, Piyu, Ari, Rindra dan Yoyo sebelum ini merupakan antara kumpulan terbaik di Indonesia.

Memulakan langkah awal menggunakan nama Padi pada 1997, kumpulan ini bagaimanapun, mengambil keputusan berehat selama tujuh tahun pada 2010.

Sebelum menyepi, mereka sempat muncul dengan album Tak Hanya Diam pada 2007.

Pada 2017, mereka kembali dengan semangat baru menerusi Padi Reborn, seterusnya melahirkan album Indera Keenam yang dilancarkan pada 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya