Tiada masalah bawa watak wanita Muslim - Sanjna Suri - Utusan Malaysia

Tiada masalah bawa watak wanita Muslim – Sanjna Suri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bekas Ratu Cantik dan pelakon, Sanjna Suri, mengakui tidak mudah untuk menembus masuk ke dalam dunia hiburan tempatan memandangkan dia bukan seorang wanita berbangsa Melayu.

Bagaimanapun, Sanjna meletakkan kepercayaan bahawa pandangan stereotaip tertentu tentang pelakon bukan berbangsa Melayu dapat dipecahkan memandangkan dia sendiri tidak malu untuk terus menggilap bakat dan kemahiran dalam bidang lakonan.

“Saya akui, sebenarnya memang susah nak tembusi pasaran Melayu. Sejak menceburi bidang lakonan, rata-rata tawaran yang datang kepada saya banyak yang terarah pada watak wanita India atau wanita berdarah campuran.

“Kalau boleh, saya nak pecahkan pandangan stereotaip itu kerana percaya, banyak lagi yang saya boleh terokai kalau bercakap pasal peluang seni lakon dalam industri tempatan. Malah saya akui, kalau dapat pegang watak wanita Muslim, perlu pakai tudung pun saya okey dan tiada masalah.

“Begitu juga jika diberikan watak wanita lasak atau tomboy, saya akan cuba bawa dengan sebaiknya,”katanya.

Kongsi Sanjna, meskipun dia bukan berbangsa Melayu dan beragama Islam, namun perkara itu tidak menjadi penghalang seandainya dia diberi tanggungjawab untuk melakonkannya di layar perak mahupun di kaca televisyen.

“Sebenarnya, saya sangat terbuka andai diberi tugas untuk menggalas watak seperti itu. Dalam kehidupan harian pun, selama ini saya memang ramai sahaja kawan-kawan Melayu dan sudah terbiasa dengan cara hidup orang Melayu dan Muslim.

“Saya menghormati semua agama dan paling penting, sebagai pendatang baharu, tiada keperluan untuk saya bersikap memilih dalam mengambil sebarang tawaran yang sesuai,”katanya.

Dalam pada itu, Sanjna juga sedar, jika mahu menjadi seorang pelakon yang memiliki lakonan bermutu, dia perlu melakukan inisiatif sendiri untuk meraih seberapa banyak ilmu dan kemahiran lakonan.

“Tak boleh mengharapkan kita akan pandai sendiri. Kalau nak pastikan diri jadi bagus, kena juga ada inisiatif. Disebabkan itu, saya sertai beberapa bengkel lakonan bersama pelakon tersohor Fauziah Ahmad Daud.

“Bila dah mula serius berlakon sejak 2018, saya pun mula diberikan peluang untuk bawa watak sampingan. Antaranya dalam naskhah Pengantin Satu Malam di samping Amelia Henderson dan Nazim Othman.

“Mungkin selepas ini, akan ada lebih banyak peluang baharu datang dan saya tak mahu lekas putus asa,”katanya.

Dalam perkembangan lain, pemenang Miss Intercontinental Malaysia 2017 dan Miss Supranational Malaysia 2018 ini sedang mempromosikan filem lakonan terbarunya berjudul Mundey Kampung Dey yang kini ditayangkan di pawagam bermula 15 Disember lalu.

Filem yang mendapat dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ini diarahkan oleh Mansher Singh.

Menurut Sanjna, dia diberi watak utama bernama Keeran dan mengakui berasa teruja kerana filem tersebut merupakan naskhah Punjabi tempatan pertama yang dihasilkan di Malaysia.

“Tak sangka lakonan saya mendapat respons positif media dari Pakistan. Rata-ratanya memuji dan menggemari keserasian saya bersama Anwaar Beg Moghal.

“Lebih mengujakan, khabarnya, filem ini juga berada dalam fasa perbincangan untuk ditayangkan di Pakistan. Saya harap lebih ramai akan sokong nakshah ini di pawagam selain terus menyokong kerjaya seni saya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya