KUALA LUMPUR: Produksi All Together Now Malaysia musim kedua (ATNM2), menafikan dakwaan mereka memaksa atau mengeluarkan arahan kepada peserta untuk membuat gimik bagi menaikkan rating program.
Penerbitnya, Nurul A’in Mohd Noor berkata, program tersebut turut melibatkan sesi soal jawab antara peserta dan panel juri serta menjadi sebahagian komponen kandungan untuk siaran televisyen.
“Tidak wujud perancangan gimik. Pihak produksi tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk peserta membuat gimik di atas pentas semata-mata untuk menaikkan rating.
“ATNM bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang nyanyian dan pihak produksi tidak pernah merancang sebarang gimik memandangkan program ini berbentuk pertandingan.
“Setiap soalan panel juri dan jawapan balas peserta berlaku 100 peratus secara spontan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Selain itu, kata A’in, setiap peserta juga diingatkan untuk menjadi diri sendiri, selain berusaha sebaik mungkin menonjolkan bakat yang ada bagi meraih perhatian juri.
“Produksi telah mengingatkan peserta untuk menjadi diri sendiri dan membuat persembahan terbaik dalam masa 90 saat itu bagi memenangi hati juri.
“Tambahan pula, ATNM merupakan program pertandingan dan pihak produksi tidak boleh merancang sebarang gimik berkaitan peserta kerana bimbang mempengaruhi persembahan dan pemarkahan.
“Kami sentiasa berpandukan garis panduan yang telah ditetapkan dan ingin terus memberikan hiburan berunsur positif serta mampu meninggalkan impak kepada penonton.
“Kami berharap kandungan yang baik dan berkualiti akan kekal dalam ingatan penonton,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya lagi, pihak produksi juga telah mengambil inisiatif mempertemukan Fieqa dan Catriona Ross bagi menjernihkan keadaan.
Malah, katanya, Fieqa telah memohon maaf atas insiden yang berlaku.
“Kebanyakan peserta program ini terdiri daripada mereka yang amatur. Malah, ada di antara mereka tidak mempunyai pengalaman membuat persembahan di pentas besar.
“Apatah lagi, program ini diadili 50 barisan juri. Jadi, pelbagai gelagat peserta ‘terkeluar’ secara spontan kerana gementar, takut dan sebagainya,” katanya.
Kontroversi ATNM2 tercetus susulan jawapan spontan peserta remaja berusia 16 tahun ketika menjawab pertanyaan daripada Catriona sehingga membangkitkan perasaan kurang senang dalam kalangan juri.
Ramai beranggapan, cara remaja itu berkomunikasi kurang sopan hingga mengundang kecaman di platform media sosial.
Bagaimanapun, peserta yang dikenali sebagai Fieqa telah memuat naik satu hantaran di Instagram berhubung perkara tersebut.
Mengakui sudah melupakan perkara yang terjadi, Fieqa menegaskan, dia tidak akan mengulas isu tersebut dan memadai hanya keluarga dan kenalan rapat yang tahu cerita sebenar.
Menurut Fieqa, dia tidak mahu membuang masa berbuat demikian kerana orang lain tidak pernah peduli sama ada apa diperkatakan itu benar atau tidak.