Pergelutan diri tiada siapa tahu - Ara Johari - Utusan Malaysia

Pergelutan diri tiada siapa tahu – Ara Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA pertanyaan mengenai momentum kerjaya dan keberadaannya dalam industri seni dilayangkan sebagai pemula bicara, tidak terdetik di hati untuk memperlekehkan profesionnya sebagai anak seni.

Sebaliknya, rasa ingin tahu itu muncul kerana mahu melihat apa lagi inisiatif dan usaha Ara Johari untuk mengangkat namanya sebagai jenama disegani, setanding artis popular lain.

Bukan dia tidak popular. Malah, suatu ketika, pemenang tempat keempat program Akademi Fantasia ke-13 (AF13) ini pernah mencipta fenomena tersendiri apabila muncul dengan lagu, Warkah Untukku sekitar 2016.

Itu juga tahun permulaannya melangkah ke dalam industri seni secara serius. Ketika itu, ramai melihat Ara mempunyai potensi besar untuk menyerlah dengan kelebihan vokal bernada tinggi.

Bagaimanapun, entah mengapa, graf kerjayanya seakan mendatar. Tidak memuncak naik, namun tidak juga menjunam jatuh. Dalam istilah lain, tiada rencah atau warna baharu.

Mengakui hal itu, kata Ara, dia sedar sepanjang tempoh tujuh tahun berkecimpung dalam industri seni, tidak banyak perkara baik yang diperkatakan mengenai dirinya.

Hendak dikatakan dia sering terpalit dengan kontroversi tidak juga, memandangkan hal seperti itu amat jarang berlaku. Adalah sekali dua, ketika dia ‘diserang’ netizen mengenai isu mabuk dan imej tomboi.
Kemudian, senyap semula.

“Saya tidak boleh tutup mulut orang untuk tidak bercakap benda negatif. Saya juga tidak boleh letakkan diri dalam keadaan sangat selesa kerana dalam industri ini, kita bergantung kepada rezeki.

“Mungkin bukan rezeki saya untuk betul-betul popular seperti artis lain. Ramai sangka saya seperti tidak hasilkan lagu baharu, sedangkan saya masih di sini.

“Orang tidak tahu pergelutan dan perjuangan saya di balik tabir serta bagaimana saya berusaha untuk menaikkan nama sebagai anak seni. Saya sudah cuba sedaya upaya lakukan sesuatu untuk diri ini,” katanya.

Tambah Ara, sudah tentu, dia tidak mudah berpuas hati, tetapi untuk terus tenang dengan keadaan selesa, itu bukan caranya.

“Pun begitu, saya rasa tidak perlu untuk canang apa sahaja yang saya buat. Tetapi, itu tidak bermakna saya tidak punya impian besar atau mahu melangkah lebih jauh, Saya lebih suka bekerja dalam diam.

“Saya tahu, graf kerjaya mendatar sebenarnya bahaya untuk seseorang artis. Tetapi, kita sedang bercakap soal rezeki. Kita tidak boleh jangka bila nama akan melonjak, bila akan popular atau bila akan jatuh. Itu semua soal rezeki.

“Tentulah, kita kena berusaha. Setakat ini, Alhamdulillah, tidak pernah terputus rezeki. Mungkin tidak sebanyak orang lain, tetapi saya rasa Tuhan bagi rezeki yang seimbang. Macam orang selalu kata, rezeki tidak pernah salah alamat,” katanya.

Bagi anak kelahiran Negeri Sembilan ini, asalkan dia sudah mencuba yang terbaik dan melakukan apa yang dirasakan betul, apa sahaja kata-kata nista orang, tidak perlu menjadi fokus utama.

Imej? Apa lagi yang tidak kena?

Bertanya mengenai soal imejnya pula, Ara akur sedari dulu, sememangnya gaya dan imej yang dibawakan sering kali menjadi perhatian ramai.

Tidak dari sudut yang baik, malah gara-gara selesa bergaya seperti tomboi, Ara pernah disangka mengalami kecelaruan identiti. Namun, hal itu telah berulang kali dinafikannya.

“Saya akan pakai apa sahaja yang dirasakan selesa dan tidak terlalu ‘over’. Beginilah, mungkin saya bukan jenis artis wanita yang sesuai memakai busana yang ‘over’.

“Bukan tidak pernah saya sarungkan busana atau gaun sebelum ini. Tetapi, ramai pula yang tidak boleh terima. Kata mereka, saya lebih kelihatan manis dan sedap mata memandang dengan gaya biasa.

“Kalau saya pakai gaun atau cuba bereksperimen, nampak kaku dan tidak lawa pula kata mereka. Bila saya pakai sut, dituduh nak jadi lelaki pula. Itulah yang saya cakap, kita tidak boleh tutup mulut orang.

“Mesti ada sahaja yang ingin mereka katakan, negatif atau positif,” katanya.

Ditanya sama ada dia rimas dengan tohmahan yang dilemparkan, penyanyi berusia 25 tahun ini berkata, lantaran sudah terbiasa, dia sudah tidak lagi mengambil peduli.

“Dari dulu sudah terkena, jadi sudah biasa. Sudah tidak rimas sebab kalau diperhatikan, memang mudah benar menghukum orang lain. Itu yang saya nampak.

“Tetapi, hanya kita yang tahu siapa diri kita. Apa yang penting, kita cari rezeki halal dan cara untuk naik dengan betul dan bukan dengan jalan yang salah,” katanya.

Ada masa kecundang jua

Mengakui dirinya bukanlah seorang yang berjiwa kental setiap masa, ada ketika, kata Ara, dia juga mendakap perasaan dan emosi sendiri apabila terjerat dengan ujian.

Kata Ara, dia juga melalui pengalaman jatuh bangun sebagai anak seni, namun untuk mempertontonkannya kepada semua orang, itu bukan pilihannya.

“Saya tidaklah sekental yang orang sangka. Saya pernah kena kecam, misalnya semasa di pentas Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33) dan dituduh mabuk dulu. Bagi saya, kalau sedang dibelenggu dengan kesedihan, kekecewaan dan sebagainya, usah menjebakkan diri dengan komen di media sosial.

“Contohnya ketika dikecam waktu AJL33 itu, saya ambil cuti dan tidak sentuh langsung media sosial. Saya cuba tenangkan fikiran dan balik daripada bercuti, baru saya baca. Bila kita berdepan sesuatu situasi dengan keadaan tenang, kita akan ambil komen negatif itu menjadi positif.

“Lagipun, sebagai artis, kita tidak tahu jika hal itu boleh menjatuhkan kita. Tetapi, kalau ada teguran yang membina, memang saya akan ambil dan cuba perbaiki kelemahan diri,” katanya.

Menanti tuah tahun baharu

Dalam perkembangan lain, Ara juga mengakui tidak sabar menanti ketibaan 2023 bersama hasrat untuk menerbitkan sebuah album sulungnya.

Kata Ara, seperti penyanyi lain, memiliki sebuah album adalah impian besar dan memandangkan itu adalah antara fokus utamanya, Ara mahu berkongsi berita gembira itu dengan semua peminatnya.

“Kalau tiada halangan, memang saya mahu terbitkan sebuah album. Itu adalah antara impian yang belum dapat saya gapai buat masa sekarang. Namun, segala perancangannya telah disusun dan tahun hadapan Insya-Allah, akan menjadi tahun terbaik saya.

“Pun begitu, ini bukan janji sebab perancangan itu perlu melalui satu demi satu proses. Jauh di sudut hati, memang saya sasarkan untuk merealisasikan perkara ini kerana bagi saya, seorang penyanyi mesti kena ada album,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya