KUALA LUMPUR : Penyanyi, Shila Amzah, 32, mengakui, tidak kisah andai bekas suaminya, Haris Idraki Ilias, berasa kurang senang dengan lagu baharu berjudul Jauh Hati yang mana ilham lagu itu berkaitan dengan kisah perceraian mereka.
Menurut Shila, seharusnya lelaki itu berasa bangga kerana terdapat lagu yang dihasilkan olehnya yang menceritakan tentang kisah mereka meskipun pahit untuk ditelan.
“Tetapi, mengenali dia, saya tahu dia akan tahu saya ini bagaimana. Untuk dia berasa tidak puas hati, saya fikir mungkin tidak. Kalau iya pun, mungkin dia kena Google banyak-banyak kalau nak dengar lagu ini.
“Namun, jika ia, sepatutnya dia rasa banggalah sebab, siapa lagi nak tulis lagu pasal dia? Tak perlu nak tersinggung pun sebab perkahwinan kami pun dah berakhir.
“Sekarang, saya sangat terbuka dan tiada benda yang membuatkan saya rasa takut lagi. Dia tahu yang saya memang menulis dan sesiapa sahaja yang bersama saya patut tahu satu fakta itu,” katanya.
Shila berkata demikian semasa ditemui pada sidang media pelancaran lagu Jauh Hati yang diadakan di sebuah hotel di ibu kota, semalam.
Selain itu, jelas Shila, lagu Jauh Hati juga menggambarkan banyak episod hitam dalam perhubungan yang pernah dilaluinya sama ada sebelum berkahwin ataupun selepas bercerai.
“Lagu ini bukan tentang bekas suami semata, tetapi yang kemudian-kemudiannya juga.
“Mana-mana hubungan cinta yang pernah saya jalin sebelum berkahwin dan selepas berkahwin, apa yang boleh saya katakan semuanya memberikan pengalaman buruk. Perkara itu juga saya sematkan dalam lagu ini.
“Bagi mereka yang mungkin sedang lalui atau pernah lalui pengalaman yang sama, saya harap, lagu ini dapat memberi inspirasi,”katanya.
Dalam pada itu, kata ibu kepada Seth Uwais, 3, ini, dia tidak mahu mengambil pusing jika ada ada yang menganggap mana-mana lelaki mungkin bimbang untuk bersama dengannya lantaran gemar menulis dan menghasilkan lagu berkenaan perhubungan yang terjalin.
“Nak kata macam mana ya? Memang tentulah akan ada lagu tentang anda, kalau anda buat sesuatu. Itu sudah pasti dan saya harap sesiapa pun faham. Dalam hal ini, kalau nak kaitkan dengan bekas suami, kisah kegagalan rumah tangga kami, keluarganya tahu apa yang terjadi.
“Lainlah kalau tiada siapa tahu dan tiba-tiba lagu ini keluar, itu mungkin saya kena terangkan panjang lebar lagi. Tapi, rasanya tak perlu jadi isu pun. Memang saya akan terus menulis sebab itu memang jiwa saya,”katanya.
Untuk info, Jauh Hati ditulis Shila sehari sebelum dia meninggalkan rumah bekas suami bersama anaknya, Seth Uwais, 3.
Shila dan Haris mendirikan rumah tangga pada April 2018 dan bercerai pada 8 Februari 2022.