Jeffrydin pegang nasihat P. Ramlee - Utusan Malaysia

Jeffrydin pegang nasihat P. Ramlee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ERA 1960-an menyaksikan kemunculan bintang legenda, Datuk Jeffrydin yang cukup disegani dan ikonik dalam industri muzik.

Sebati dengan muzik Pop Yeh Yeh, Jeffrydin merupakan antara pelopor genre tersebut yang masih teguh berjuang sehingga hari ini.

Menerusi wawancara eksklusif bersama Pancaindera, anak jati Singapura ini menceritakan perjalanan seni yang sudah mencecah lebih enam dekad.

Kata empunya nama sebenar, Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman ini, minat dalam dunia nyanyian bermula ketika menuntut di Sekolah Tinggi Tanglin, Singapura.

“Saya aktif menyanyi di sekolah, malah sering menyertai kumpulan koir dan memenangi pertandingan talentime.

“Saya belajar bermain instrumen daripada bapa saudara yang sering membuat persembahan di majlis perkahwinan. Dia selalu membawa saya ke majlis orang kahwin dan meminta saya menyanyi ketika kumpulannya berehat.

“Saya selalu ditegur arwah nenek kerana suka menyanyi,” kongsinya.

Bakat Jeffrydin dicungkil pengurus syarikat rakaman asal Indonesia, Lee yang kali pertama melihat dia menyanyi pada satu majlis perkahwinan.

Ketika diuji bakat, Jeffry dikehendaki menyanyikan lagu Seruling Bambu dan Fatwa Pujangga sebelum menandatangani kontrak rakaman. Atas saranan Lee, beliau diminta menyanyi bersama kumpulan The Siglap Five.

Jeffrydin menghasilkan 30 album termasuk Kabus Di Pagi, Mas Mona 1, Pertemuan dan banyak lagi.

Selain itu, penyanyi berusia 75 tahun ini juga pernah berlakon beberapa filem seperti Aksi Kucing, Penagih Dadah dan banyak lagi.

Beliau bertemu jodoh dengan anak kelahiran Pulau Pinang, Rashidah Abdullah, yang juga pengurusnya.
Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Raden Arjuna Mirko, Raden Wira Sukma dan Raden Ratna Sari Dewi.

Membesar tanpa ibu, ayah

Jeffrydin membesar tanpa kasih sayang ibu dan ayah. Sedari kecil, penyanyi ini dibesarkan oleh neneknya.

“Ibu meninggal dunia ketika usia saya tiga tahun. Bapa membawa diri ke Semarang, Indonesia selepas ibu tiada. Neneklah yang membesarkan saya sejak kecil.

“Saya bertemu semula dengan bapa sekitar tahun 1993. Saya tidak marah dia meninggalkan saya ketika kecil. Katanya, dia enggan pulang ke Singapura kerana takut dipukul oleh adik-beradiknya yang marah apabila meninggalkan saya.

“Sebelum bertemu, saya pernah mencarinya. Tetapi, bapa saudara merahsiakan keberadaan bapa kerana tidak mahu saya mencarinya,” kongsinya.

Pesan P.Ramlee

Bercerita tentang Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Jeffrydin memaklumkan, dia masih berpegang pada pesanan ditinggalkan Seniman Agung itu.

“Pernah selepas membuat persembahan, P.Ramlee panggil saya ke belakang pentas.

“Arwah berpesan, saya kena tampilkan gaya nyanyian dan imej tersendiri. Katanya, jangan tiru orang lain. Kata-katanya itu saya pegang hingga ke hari ini,” ceritanya.

Bercerita lanjut, kata Jeffrydin, P.Ramlee tidak menolak muzik Pop Yeh Yeh dan mengikuti perkembangan genre tersebut yang ketika itu masih baharu di persada seni tanah air.

“Kami barisan pemuzik baharu segan dengan beliau. Mungkin sebab itu kemesraan dengannya tidak terbentuk ketika itu,” ujarnya.

Trademark bergoyang

Jeffrydin adalah penghibur trendsetter yang terkenal dengan tarian bergoyang ketika membuat persembahan. Di sebalik tarian itu, Jeffrydia berkata, ada cerita yang jarang dikongsikan kepada umum.

“Ia bermula selepas saya menonton filem lakonan Elvis Presley di pawagam. Saya dicabar seorang rakan yang mahu melihat saya bergoyang ketika menyanyi.

“Sebelum itu, saya memang kaku apabila beraksi di atas pentas. Ia disebabkan saya pernah diberi amaran bapa saudara agar tidak menari dan hanya tumpukan pada vokal semata-mata.

“Ketika itu, saya masih kanak-kanak dan hanya mengikut apa yang diarahkan bapa saudara.

Bagaimanapun, saya sahut juga cabaran untuk bergoyang ketika menyanyi. Sampai sekarang orang kenal saya dengan gaya tarian sebegitu,” katanya.

Baju ditarik peminat

Dalam perbualan, Jeffrydin turut mengimbau kemeriahan perhimpunan artis Pop Yeh-Yeh Singapura di Stadium Merdeka sekitar 1967.

Jeffrydin menceritakan pengalaman berdepan 20,000 peminat yang memenuhi stadium pada konsert tersebut.

“Itu adalah kali pertama saya membuat persembahan di Kuala Lumpur. Bayangkan, membuat persembahan di hadapan lautan manusia yang kali pertama melihat saya secara berdepan.

“Peminat terlalu ramai sehingga polis terpaksa dikerahkan untuk menjaga keselamatan artis.

“Saya melalui pengalaman mencemaskan apabila baju ditarik peminat sehingga butang tercabut. Mereka tidak pernah melihat saya, sebaliknya hanya menonton di kaca televisyen dan mendengar suara di radio,” katanya.

Kata Jeffrydin lagi, dia terharu apabila penyanyi ghazal tersohor, Allahyarham Kamariah Noor turut datang menonton persembahannya. Arwah terpaksa masuk melalui pintu belakang stadium semata-mata untuk melihat dia menyanyi.

“Arwah terpaksa masuk melalui pintu belakang kerana kehabisan tiket dan stadium pula dipenuhi lautan manusia.

“Memang ia pengalaman tidak dapat saya lupakan. Polis pula tidak berdaya berdepan dengan peminat yang ketika itu begitu ramai,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya