Industri kreatif perlu lonjakan - Utusan Malaysia

Industri kreatif perlu lonjakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERALIHAN dalam kepimpinan negara turut memperlihatkan warga seni meletak harapan tinggi agar pelbagai isu yang selama ini menjadi polemik dapat menemui penyelesaian tuntas.

Penggiat seni juga berharap segala hasrat mereka dapat direalisasikan menerusi kerangka kerja yang efektif, sekali gus memacu industri seni dan kreatif untuk terus berdaya saing menempuh cabaran.

Malah, mereka ingin melihat peralihan kepimpinan dapat membawa perubahan, anjakan dan memacu industri kreatif terus mara serta mengharum, tidak hanya di negara sendiri tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Sebagai warga bertanggungjawab, penggiat seni turut ingin bersama-sama menggembleng tenaga merealisasikan harapan rakyat.

Pancaindera bertanyakan penggiat seni tentang aspirasi, harapan dan impian mereka terhadap kepimpinan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dalam memajukan industri kreatif.

Tumpukan eksport, pengkomersialan kandungan digital tempatan – Norman Abdul Halim

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Datuk Norman Abdul Halim berharap kerajaan dapat menumpukan kepada usaha mengkomersial dan mengeksport kandungan digital tempatan ke luar negara.

Kata Norman, perkara itu penting untuk membolehkan kandungan digital seperti filem atau muzik dapat dipromosikan, sekali gus dinikmati masyarakat global.

“Negara kita kaya dengan seni dan budaya yang boleh dipromosikan ke luar negara menerusi muzik dan filem. Rugi jika perkara ini tidak diberi perhatian sewajarnya.

“Kita boleh contohi Korea Selatan yang agresif dan ke depan dalam meluaskan pengaruh filem dan muzik mereka ke serata dunia.

“Saya berharap kementerian dapat membentuk gerak kerja dan strategi yang lebih berimpak tinggi untuk mencapai matlamat tersebut,” katanya.

Norman, pada masa sama juga berharap satu jawatankuasa yang menggabungkan agensi berkaitan industri seni dapat diwujudkan dan ditambah baik peranannya bagi membolehkan segala permasalahan dalaman industri dapat dikendalikan dengan baik.

“Kita ada banyak isu dalam seperti bayaran royalti, masalah cetak rompak dan sebagainya yang saban tahun masih membelenggu industri seni.

“Saya mencadangkan agar sebuah jawatankuasa khas diwujudkan, menggabungkan semua agensi dan dipengurusikan pucuk pimpinan tertinggi seperti Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

“Saya percaya dengan cara ini segala masalah atau isu berbangkit dalam industri seni dapat dikendalikan menerusi gerak kerja yang lebih berkesan dan berimpak tinggi.

“Penglibatan kepimpinan tertinggi penting kerana ia menunjukkan industri seni sebagai komoditi ekonomi penting yang sewajarnya diberi lebih perhatian,” jelasnya.

Seni, budaya bukan sektor tempelan – Sabri Yunus

Sutradara tersohor, Sabri Yunus berharap seni dan budaya tidak lagi menjadi sektor tempelan ‘pelancongan’ semata-mata, sebaliknya usaha perlu diangkat serta dipergiatkan kerana ia melambangkan jati diri bangsa.

Jelasnya, seni dan budaya mempunyai peranan tersendiri yang tidak sewajarnya dipinggirkan, sebaliknya perlu dipertahankan sebagai lambang identiti negara.

“Kerajaan perlu melihat semula peranan seni dan budaya dalam kementerian. Kita tidak mahu seni dan budaya ‘tenggelam’, selain dijadikan ‘bahan pelancongan’ semata-mata untuk meraikan pelancong luar datang ke negara ini.

“Jangan jadikan seni dan budaya hanya nampak seperti di atas ‘kertas’ pelancongan sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, pelakon drama Pok Ya Cong Codei iitu berkata, kerajaan negeri juga perlu memainkan peranan dan mengambil berat aspek seni serta budaya.

Sebagai contoh, negeri Cik Siti Wan Kembang yang kaya dengan seni seperti dikir barat, mak yong dan wayang kulit perlu dipandang serius dan dikomersialkan.

“Kalau kerajaan Kelantan melihat seni itu bertentangan dengan nilai Islam, perbincangan perlu diadakan untuk mencari jalan penyelesaian bersama.

“Kalau seni dan budaya ‘dikahwinkan’ dengan nilai keislaman, sudah tentu ia ‘perkahwinan’ yang baik dan boleh berkembang biak apabila pelaku seni mempunyai pekerjaan dan budaya dapat dipertahankan daripada ditelan kepupusan,” katanya.

Tingkatkan mutu industri seni setanding negara luar – Siti Rohaya Atan

Mewakili penggiat teater, Siti Rohaya Atan menaruh harapan besar kepimpinan baharu dapat meneruskan usaha memastikan industri seni kita tidak jauh ketinggalan dengan industri seni luar, terutama negara jiran.

Siti Rohaya berkata, pelbagai inisiatif harus dirancakkan, termasuk menjalin usaha sama dengan orang seni memandangkan kedua-duanya saling memerlukan bagi menaik taraf industri seni.

“Kita tidak mahu lagi ada tengik dan bengik cerita seni yang membuatkan kita jauh ketinggalan daripada industri seni luar. Tidak perlu jauh, bandingkan sahaja dengan industri seni Indonesia atau Thailand.

“Kalau dilihat, produk untuk siaran televisyen, filem, malah penganjuran acara hiburan tahapnya masih sama sejak dari zaman awal merdeka sehingga sekarang ,” katanya.

Bagaimanapun, Siti Rohaya berkata , dia menaruh keyakinan dengan pemantauan rapi, usaha mempertingkatkan dan menaik taraf produk seni serta budaya dapat direalisasikan.

“Pemantauan perlu, terutama membabitkan agensi yang diberi peruntukan besar untuk memastikan tidak wujud isu ketirisan. Usaha itu dapat memastikan produktiviti dan kualiti kerja lebih berjiwa serta ada nafas baharu,” katanya.

Teruskan program sedia ada – Freddie Fernandez

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berharap program yang membantu penggiat dan industri seni secara keseluruhan dapat diteruskan seperti geran sempadan untuk mempromosikan acara seni.

“Program seperti itu perlu diteruskan kerana selain mempromosikan pelancongan tempatan, ia juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Freddie juga berharap agar tabung kebajikan artis yang digerakkan sebelum ini dapat diteruskan untuk menjaga kebajikan penggiat seni yang memerlukan.

“Mungkin ia perlu ditambah baik untuk bantu artis yang kurang bernasib baik.

“Selain itu, saya juga mencadangkan pemenambahan program modal insan dan latihan, khusus untuk penggiat seni bagi mempertingkatkan lagi kemahiran mereka,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya