PETALING JAYA: Biarpun dianggap antara pelakon berbakat besar, Nadiya Nisaa mengakui, sering menolak tawaran naskhah seram kerana sukar mengawal perasaan takut, terutama melibatkan elemen hantu.
Namun, demi mencabar diri dan melaksana impian berlakon di bawah arahan sutradara prolifik, Dain Said, Nadiya menerima tawaran menjayakan watak pengamal perubatan tradisional dalam filem Harum Malam.
“Ini adalah filem seram pertama lakonan saya. Bukan apa, saya ini penakut. Mula-mula dapat tawaran, saya ragu-ragu untuk terima, pada masa sama, memang berhajat berlakon bawah arahan Dain.
“Untuk meyakinkan saya, pengurus ada ‘tipu-tipu’ sikit, cakap bukan watak hantu dan tidak ada babak kena rasuk. Rupa-rupanya, dia tidak beritahu tentang kesan khas dan sesi solekan yang berjam-jam lamanya.
“Harum Malam membuka mata saya terhadap realiti penggambaran filem seram. Melihatkan set, props dan tenaga produksi, saya berbangga dan bersyukur menerima tawaran itu walaupun pada awalnya, berbolak-balik,” katanya.
Berkongsi pengalaman berlakon di bawah arahan Dain, Nadiya berkata, sutradara hebat itu sangat membantu dan memberi keyakinan untuk dia menjiwai watak tersebut walaupun dalam keadaan takut.
“Saya sudah lama berlakon, tetapi banyak belajar ilmu baharu daripada Dain. Dia beri keyakinan supaya saya lebih mendalami watak. Pelakon juga rasa dihargai dan semua yang ada di set sangat membantu.
“Bila tengok cara penggambaran, kita tahu ini adalah naskhah yang besar. Ini bukan soal mahu takut-takutkan orang, tetapi ada cerita di sebalik setiap watak,” ujarnya.
Selain Nadiya, Harum Malam turut membariskan nama hebat antaranya Remy Ishak, Bront Palare dan pelakon muda berbakat besar, Idan Aedan.