KUALA LUMPUR: Penyanyi rap yang juga anggota kumpulan K-Clique, Noki, 28, memaklumkan bapanya, Allahyarham Aji Lee Ahsam, tidak pernah menghalang minatnya menceburi bidang muzik, asalkan tetap menjaga solat.
Kata Noki, itu juga adalah antara pesanan yang tidak pernah jemu diberikan ketika hayat arwah masih ada.
“Arwah tahu minat saya ke sini, namun tidak pernah menentang. Arwah juga tahu dunia hiburan banyak terdedah kepada perkara yang melekakan, tetapi kerjaya ini antara sumber rezeki untuk saya bantu keluarga.
“Disebabkan itulah, ketika masih ada, arwah sentiasa ingatkan saya, jangan tinggal solat kerana ia tiang agama.
“Ayah kata, dengan solat, perlahan-lahan dapat hindarkan diri daripada perkara yang tidak baik. Tetapi, tengoklah saya dengan imej begini. Namun, saya cuba perbaiki kelemahan dari hari ke hari, doakan saya,”katanya.
Noki berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Fiesto Fest @ Melaka 2022 di sini, baru-baru ini.
Selain itu, berkongsi mengenai pemergian bapanya, Noki berkata, dia masih ralat kerana tidak sempat menatap wajah arwah sebelum dikebumikan.
Pun begitu, jauh di sudut hati, kata penyanyi dengan nama sebenar, Ahmad Ikhwan Aji ini, dia lega kerana arwah pergi dalam keadaan yang baik dan segala urusan dipermudahkan-Nya.
“Arwah bapa menderita penyakit berkaitan saraf sejak umur 30-an lagi. Malah, kalau berjalan perlu menggunakan tongkat. Namun, sejak beberapa tahun lalu, dia sudah tidak dapat berjalan dan hanya terlantar di rumah.
“Sejak itu, kehidupannya cuma di atas katil. Untuk bersihkan badan atau solat, semuanya dibuat di atas katil. Apabila mendapat tahu arwah sudah tiada, terus terang separuh jiwa saya dibawa pergi.
“Arwah sumber kekuatan saya. Namun, jauh di sudut hati, ada rasa lega kerana sekurang-kurangnya arwah sudah tidak perlu lagi menahan sakit,” katanya.
Dalam pada itu, Noki turut berkongsi beberapa kejadian yang seakan-akan memberi petanda bapanya bakal dijemput Ilahi.
“Tidak cuma saya, empat adik-beradik yang lain juga merasai perkara yang sama. Pada hari arwah meninggal, secara kebetulan kami semua sedang cuti.
“Ibu cerita, selama ini arwah tidak boleh potong sendiri kuku kakinya, tetapi sebelum pergi, semuanya dilakukan sendiri. Arwah potong kukunya dengan kemas, malah siap mandi dan bersihkan diri.
“Paling tidak boleh lupa, saya dan adik- beradik terkejut apabila arwah menukar tarikh lahirnya di Facebook dari 14 September 1956 kepada tarikh dia meninggal iaitu pada 9 Disember 2022. Arwah seperti tahu masanya sudah tiba,” katanya.
Noki bakal membuat persembahan bersama MK di Fiesto Fest Melaka yang akan berlangsung dari 29 Disember ini hingga 1 Januari depan.
Festival selama empat hari ini sarat dengan aktiviti bermanfaat seperti sukan, seni dan budaya serta expo jualan. Persembahan bunga api turut diadakan bersempena Ambang Tahun Baru 2023.
Selain Noki dan MK, antara selebriti yang turut membuat persembahan adalah Asfan Shah, Azlan & The Typewriter, Kristal dan ramai lagi.