KUALA LUMPUR: Konsert Garis Masa Raihan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam pada 26 November ini ditunda ke tahun hadapan.
Anggota Raihan, Che Amran Idris atau Che Am ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, penundaan dibuat atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
“Perbincangan telah dibuat dengan pihak penganjur. Atas beberapa faktor seperti Pilihan Raya Umum Ke-15 dan keadaan cuaca tidak menentu, kami sebulat suara memutuskan untuk menunda konsert ini ke 18 Februari 2023, sempena sambutan Israk Mikraj.
“Buat masa ini, sistem pembelian tiket menerusi www.ticket2U.com.my dihentikan sementara dan akan dibuka semula bermula 7 November ini.
“Bagi yang ingin menukar perancangan, tuntutan pemulangan wang boleh dibuat dengan menghantar permohonan menerusi [email protected],” katanya.
Dalam konsert berdurasi lebih 90 minit itu, Raihan yang dianggotai Che Am, Abu Bakar Md. Yatim dan Amran Ibrahim bakal mempersembahkan rangkain lagu hit seperti Puji-Pujian, Iman Mutiara, Sesungguhnya, Thank You Allah, 25 Rasul, Syukur dan banyak lagi.
Mengulas lanjut, Che Am menyifatkan penundaan konsert itu sebagai langkah positif yang diambil mengikut kesesuaian situasi semasa.
“Insya-Allah, kita dapat lebih banyak masa untuk mempromosikan dan membuat persediaan bagi konsert ini.
“Tahun ini kita menyaksikan lambakan konsert artis tempatan dan luar negara yang dianjurkan dalam tempoh berdekatan. Jadi, lebih sesuai kami adakan konsert ini tahun depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Che Am bagaimanapun enggan mengulas kenyataan bekas anggota Raihan, Nazrey Johani yang berhasrat untuk bertemu secara empat mata dengan anggota kumpulan itu bagi menyelesaikan sebarang isu yang berlanjutan sehingga kini.
“Saya mohon maaf kerana masih belum boleh memberikan apa-apa komen berkenaan perkara itu.
“Tentang hal ini, kami mahu selesaikan tanpa melibatkan media,” jelasnya.