KUALA LUMPUR : Pelakon yang popular dengan naskhah filem aksi, Hairul Azreen, 34, mencuri perhatian warganet apabila dia dan isterinya, Hanis Zalikha, 32, berkongsi pengalaman kali pertama mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Memuat naik perkongsian di Instagram, pelakon filem Paskal dan The Assistant itu membuat satu hantaran video memaparkan dia dan isterinya selesai menjalankan tugas sebagai rakyat Malaysia dengan mengundi.
“Kami ‘first time’!,” kata Hairul selain turut menulis perkara yang sama pada ruangan kapsyen gambar di Instagram.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan kenyataan daripada Hairul masih belum berhasil.
Menerusi tinjauan di akaun media sosial, perkongsian pelakon tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pengikut, termasuk komen berbaur sindiran.
Segelintir komen menyindir kedua-duanya dikatakan hanya melaksanakan tanggungjawab tersebut selepas berdepan kritikan gara-gara kenyataan Hairul yang tidak pernah keluar mengundi.
Pada PRU14 lalu, Hairul dan Hanis menerima kecaman hebat kerana tidak turun mengundi.
Perkongsian itu sekali gus melenyapkan persoalan netizen yang sebelum ini berteka-teki sama ada pasangan tersebut akan keluar mengundi atau sebaliknya pada PRU kali ini.