PETALING JAYA: Walaupun sudah mengelolakan pelbagai acara hiburan berskala besar, pengacara, Sherry Al Hadad tetap gementar dan takut untuk mengemudi pentas Gegar Vaganza (GV) musim kesembilan bersama Elly Mazlein, malam tadi.
Menggantikan pengacara tetap, Nabil Ahmad yang kehilangan ayahanda tercinta, Jumaat lepas, Sherry berkata, mereka perlu berbincang dan melontar idea supaya gaya pengacaraan tidak terkeluar daripada tema minggu keempat, Aman Di Mata, Damai Di Hati.
“Kami pernah kerja bersama. Cuma, kali ini kena kawal ‘perangai’ sebab menghormati minggu yang bertemakan kerohanian. Kami bincang bersama. Apatah lagi, kami berdua wanita dan banyak perkara perlu dititikberatkan.
“Pada awalnya, memang takut sebab ini pentas GV. Semua tahu, walaupun mingguan, GV ibarat acara berskala besar. Penonton juga berbeza dengan Big Stage yang pernah saya kendalikan bersama Alif Satar. Memang gugup.
“Tetapi, Kak Lina banyak membantu. Mula-mula kenalah sopan sikit, namun lama-kelamaan, tenaga pengacaraan itu perlu lebih tinggi untuk menghidupkan konsert GV,” katanya.
Sherry menambah, niat mereka dalam dunia pengacaraan adalah untuk menghiburkan penonton setia sesebuah acara hiburan supaya momentum dan dinamik program tersebut bertahan.
“Jujurnya, kami saling bertukar idea. Tapi itulah, berborak pasal idea pun sudah tergelak besar. Niat kami untuk menghiburkan orang. Gedik atau tidak, itu tolak tepi.
“Takut juga dengan reaksi warganet, tetapi Alhamdulillah, kami sudah lakukan yang terbaik,” katanya.
Pada konsert semalam, penyanyi Pat Candy menarik nafas lega apabila tiada penyingkiran dibuat selepas memperoleh markah terendah dengan 55.6 peratus menerusi persembahan lagu Kembara Di Tanah Gersang.
Persaingan minggu keempat itu juga menyaksikan Jaclyn Victor kembali merampas kedudukan pertama dengan 85 peratus menerusi persembahan bertenaga lagu You Raise Me Up.