Kumpulan Soda menang berganda, peluang mara pentas akhir cerah - Utusan Malaysia

Kumpulan Soda menang berganda, peluang mara pentas akhir cerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rezeki ternyata berpihak kepada kumpulan Soda apabila mereka diumumkan sebagai pemenang pada minggu kelapan program Awesome Raja Lawak, kelmarin.

Malah, Soda yang dianggotai Sofwan dan Danny, meraih kemenangan berganda apabila turut diumumkan sebagai Man of The Match.

Kemenangan itu melayakkan Soda membawa pulang hadiah imuniti yang membolehkan mereka memilih untuk menggunakannya atau memberikan kepada peserta lain bagi menyelamatkan mana-mana rakan yang tersingkir.

Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, Soda memiliki keistimewaan dalam cara penyampaian jenaka mereka dan dilihat sebagai kumpulan yang sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan pada setiap minggu.

“Kemenangan Soda selayaknya kerana mereka berjaya menggandingkan parodi watak popular anak ahli sihir rekaan novelis tersohor dunia, JK Rowling, Harry Potter dengan program game show, Who Wants To Be A Millionaire? dengan cukup kemas.

“Sofwan dan Danny berjaya memenangi hati juri tetap, Khir Rahman, Ayda Jebat dan Saiful Apek dari satu ‘punchline’ ke ‘punchline’ yang lain, seterusnya meraih 83 peratus markah keseluruhan dan mendapat tiga ‘Up’.

“Kumpulan Sedare yang dianggotai Afea dan AG Hafiz juga tidak kurang hebatnya apabila meraih kedudukan kedua dengan markah terkumpul 80 peratus.

“Lakonan mereka yang memparodikan peristiwa serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong ternyata menghiburkan dan watak suami isteri yang dibawa juga dilihat menjadi,” katanya.

Jelas Ezzan lagi, pujian wajar diberikan kepada Soda kerana imuniti yang dimenangi telah mereka berikan kepada kumpulan duo, Se’eh.

“Atas dasar setia kawan dan semangat persaingan yang sihat, Soda menyelamatkan Se’eh yang dianggotai Otton dan Muslim daripada tersingkir. Kami bangga melihat keluarga besar Awesome Raja Lawak mempamerkan keakraban dari hari ke hari,” katanya.

Dua peserta lain iaitu Hanif dan Kumpulan Semmat, bagaimanapun terpaksa pulang hampa apabila diumumkan tersingkir pada peringkat suku akhir program tersebut.

Kata Ezzan, penyingkiran itu dibuat selepas sembilan peserta ‘disimpan’ selama dua minggu bagi memberi laluan kepada kemunculan otai atau alumni Raja Lawak pada program itu.

“Hanif dan kumpulan Semmat telah memberikan persembahan terbaik mereka, namun hanya setakat itu perjalanan mereka di pentas Awesome Raja Lawak.

“Saya yakin dengan semangat kental, berbekalkan pengalaman dan tunjuk ajar barisan tenaga pengajar serta produksi program, selain menerusi platform yang betul, mereka boleh pergi jauh, khususnya dalam arena komedi,” katanya.

Juara Awesome Raja Lawak musim pertama bakal membawa pulang wang tunai RM50,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya