KUALA LUMPUR : Penyanyi rock bertaraf legenda, Datuk Awie, 53, hairan mengapa masih ramai dalam kalangan artis yang mudah terpedaya dengan skim tertentu yang dicurigai kesahihan dan ketelusannya.
Menurut Awie, ia termasuk skim terbaru kononnya menawarkan rumah untuk penggiat seni pada harga RM10 yang hangat diperkatakan, baru-baru ini.
“Apabila dapat tahu isu itu, saya sebenarnya tergelak kerana ada yang terlibat kawan-kawan saya juga.
“Saya pelik sebab mereka itu semua bijak pandai orangnya, tetapi mengapa masih bersetuju dan percaya pada skim tersebut?
“Tolonglah, fikir menggunakan logik akal, macam mana skim harga RM10 tetapi dapat rumah berharga cecah RM500,000?,”katanya.
Awie yang juga Duta Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menasihatkan penggiat seni lain agar tidak tertipu, sebaliknya menyiasat terlebih dahulu supaya tidak dipermainkan.
“Jangan mudah terpedaya, perlu siasat terlebih dahulu perkara ini sehingga ke akar umbi untuk pastikan kesasihan sesuatu tawaran.
“Saya kasihan dengan artis senior yang sudah bertahun-tahun dalam industri, tetapi tidak pernah dapat pembelaan.
“Apabila ada skim sebegini, kebanyakan mereka teruja, tanpa mereka sedari rupa-rupanya dipermainkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Awie dan Wings akan tampil dalam Konsert Naga Kramat yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 22 Oktober ini.
Tiket konsert sudah mula dijual secara atas talian di http://www.ticket2u.com.my/nagakramat.