KUALA LUMPUR: Pelakon yang juga anggota kumpulan De Fam, Azira Shafinaz, akur tidak semua pihak selesa serta menerima caranya berpakaian, namun berharap diberi ruang untuk memperbaiki diri.
Azira berkata, sebagai manusia, dia juga tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan, pada masa sama berusaha memperbetulkan kekurangan kerana turut mengimpikan kehidupan yang lebih baik.
“Saya tahu ada yang kurang senang dengan imej seksi yang dibawa. Kalau boleh, saya tidak mahu mengulas panjang perkara ini kerana bimbang jika tersalah cakap akan mencetuskan pelbagai spekulasi lain.
“Secara peribadi, saya faham dan sedar tidak semua boleh menerima cara saya. Namun, saya juga sedang berusaha memperbaiki diri. Saya sentiasa berdoa untuk berubah ke arah lebih baik. Harap semua peminat dapat mendoakan sekali,” katanya.
Terdahulu, foto Azira yang memakai persalinan gaun pendek ketika menyambut ulang tahun kelahirannya di Bangkok, Thailand, baru-baru ini telah mengundang kritikan netizen di media sosial.
Mengakui kurang selesa dengan komen yang melabel dirinya dengan pelbagai perkataan tidak manis, Azira bagaimanapun, tenang menerima kritikan ramai.
“Sudah tentu saya tidak selesa apabila dipanggil dengan pelbagai perkataan yang tidak baik. Tetapi, inilah lumrah apabila menjadi artis, kita kena hadap semua benda ini.
“Memang dari dulu, ada saja yang tidak kena pada pandangan orang luar. Saya tidak cakap pemakaian cara saya betul, tetapi doakan yang terbaik untuk saya,” ujarnya.
Tambah Azira, dia memilih untuk tidak membaca komen negatif, sebaliknya akan terus memfokuskan diri untuk menjadi manusia yang lebih baik.
“Sebelum ini, ada juga saya membaca komen dan tipulah kalau ia tidak memberi kesan kepada diri. Saya pun ada hati dan perasaan. Kadang-kadang, ada juga komen yang melampaui batas dan buat kita rasa geram.
“Tetapi, Itulah kita kena banyak bersabar. Saya faham, apa saja yang dikongsikan, baik atau buruk orang akan tetap berkata-kata. Namun, apa yang buruk, insya-Allah saya cuba perbetulkan untuk memperbaiki diri,” katanya.