KUALA LUMPUR: Penyanyi Farahdhiya mengakui, tidak mudah untuk merangkumkan segala isi hatinya ketika menghasilkan single terbaru,Tak Terganti.
Ini kerana kata Farahdhiya, lagu yang diberi judul Tak Terganti itu ditulis dan dihasilkan sebagai tanda kenangan buat bapanya, Allahyarham Mohd. Amin Zubir yang meninggal dunia pada 9 Januari 2020.
“Ada yang pernah bertanya, bila saya akan buat lagu sendiri? Sepanjang 18 tahun menjadi penyanyi, saya tidak pernah ada keinginan atau terfikir ke arah itu.
“Melodi lagu ini tiba-tiba datang ketika saya sedang membersihkan diri dalam bilik air. Disebabkan itu, pendengar boleh mendengar kesan bunyi air dimasukkan dalam lagu ini.
“Bila saya dendangkan melodinya, saya sebak dan serta-merta terkenangkan arwah,” katanya.
Video muzik Tak Terganti ditayangkan secara rasmi di laman YouTube, sejak tiga hari lalu dan setakat ini, menerima lebih 2,000 jumlah tontonan.
Kata Farahdhiya lagi, antara cabaran menghasilkan lagu balada itu adalah pemilihan patah perkataan yang tepat untuk menggambarkan perasaan kehilangan yang dilaluinya itu.
“Setiap hari, saya cuba mendapatkan perkataan yang tepat untuk dijadikan lirik. Secara jujur, mustahil untuk dapat saya rangkumkan keseluruhan perasaan dalam satu lagu.
“Lagu ini akan menjadi memori untuk saya kenang dan simpan sampai bila-bila,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Bertakhta Di Hati itu.
Pelakon drama Spa Q itu juga mengakui, lagu yang diterbitkan Seventeen Eleven Music itu menjadi sentuhan paling lama dirakamkan sepanjang bergelar penyanyi.
“Saya tidak ambil masa lama ketika merakamkan lagu, selalunya dalam dua jam selesai. Tetapi, disebabkan susah menyampaikan isi hati saya dalam lagu ini, saya ambil masa lebih lama sekitar lima hingga enam jam untuk disiapkan.
“Saya terbayangkan wajah arwah ketika merakamkan lagu ini kerana setiap patah perkataan yang disampaikan mengingatkan saya kepadanya,” ujarnya.