SHAH ALAM: Kemunculan istimewa Datuk Seri Siti Nurhaliza pada konsert minggu kelima Gegar Vaganza musim kesembilan, malam tadi mengujakan ramai.
Kemunculan itu sekali gus memperkenalkan penyanyi nombor satu negara tersebut sebagai duta Farm Fresh, selain membawakan lagu tema produk minuman susu tersebut iaitu Semuanya Baik.
Mengulas pemilihan ibu dua cahaya mata itu, Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal, mengakui tidak mudah untuk memujuk penyanyi kesayangan ramai itu.
Bagaimanapun, kata Azmi, pelantikan itu dianggap bertepatan dan bersesuaian kerana Siti bukan calang-calang selebriti, malah turut selektif sebelum memberikan kata persetujuan untuk tawaran menjadi duta.
“Memang tidak mudah untuk pujuk Siti. Lama juga proses rundingan, bermula dari awal tahun ketika kami merancang keluarkan produk susu baharu untuk kanak-kanak membesar.
“Kami mencari duta yang ada standard untuk pergi ke ‘next level’. Jadi, dua tiga kali juga pergi ke rumahnya untuk berbincang.
“Hanya Ogos lalu, dia memberikan kata persetujuan. Kami seterusnya memulakan penggambaran iklan, selain merakamkan lagu tema produk dan beberapa perancangan lain,” katanya.
Diusik pertanyaan nakal netizen mengenai Farm Fresh sanggup berbelanja besar untuk melantik Siti sebagai duta, Azmi berkata, ia bersesuaian dengan gelaran Siti sebagai penyanyi nombor satu negara.
“Apa yang dapat saya katakan, kami mengeluarkan peruntukan lumayan untuk kontrak berlangsung selama dua tahun. Tetapi, jumlah itu bersesuaian dengan gelaran dan taraf Siti dalam industri seni.
“Saya ada baca di Twitter mengenai komen netizen, malah ada yang kata Siti nyanyi lagu jingle susu pun boleh masuk Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Macam-macam usikan mereka, namun rata-ratanya positif terhadap pelantikan Siti sebagai duta kami.
“Ini kali pertama kami melantik selebriti sebagai duta. Selama ini, ‘duta tua’ ini yang ke depan,” katanya.
Dalam pada itu, kata Azmi, dia tidak mengambil hati dengan usikan segelintir netizen terhadapnya di Twitter kerana sudah terbiasa.
“Sudah terbiasa… Dunia hiburan tidak sama dengan dunia korporat. Usikan dunia korporat lain, lebih berkisar fakta, jualan dan sebagainya.
“Ini kita pakai butang senget pun boleh jadi bahan cerita. Saya tak ambil hati pun. Kita kenalah sporting. Paling tidak, netizen akan bercerita sekejap sahaja, dua tiga hari cerita benda lain,” katanya.