KUALA LUMPUR: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) menyambut baik usaha kerajaan menyediakan pelbagai insentif, termasuk untuk penggiat seni dalam memacu industri kreatif menjadi lebih produktif.
Presidennya, Khalil Saleh, berkata keprihatinan kerajaan menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO yang turut memberi manfaat kepada penggiat seni membuktikan golongan itu tidak terpinggir.
“Inisiatif kerajaan dengan menanggung 80 peratus daripada nilai caruman secara tidak langsung mengurangkan bebanan golongan bekerja sendiri, termasuk penggiat seni.
“PROFIMA bersyukur kerana suara kami didengar. Menerusi skim terbabit, penggiat seni dilindungi dan kami berterima kasih kepada kerajaan yang turut memberi perhatian terhadap usaha yang kami perjuangkan,” katanya.
Khalil juga bersyukur apabila program i-Saraan dilanjutkan tahun hadapan dan ditambah baik kerana ia turut memberi manfaat kepada penggiat industri seni sebagai persediaan untuk tujuan persaraan.
“Ramai dalam kalangan pekerja industri yang bekerja sendiri dan memerlukan simpanan untuk hari tua.
“Caruman Sukarela dengan Insentif Persaraan menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ini menggalakkan penggiat seni yang tiada pendapatan tetap untuk menabung bagi tujuan persaraan,” katanya.
Khalil juga yakin, pengumuman insentif menerusi Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (DEKAN) dan Dana Kandungan Digital (DKD) dapat mewujudkan ekosistem yang sihat kepada industri seni, seterusnya membuka ruang lebih besar untuk dinikmati penggiatnya.
“Ia secara tidak langsung membuka peluang kerja dan manfaat ini dapat dinikmati bersama oleh semua lapisan penggiat seni,” katanya.
Sementara itu, penerbit Kapten (K) Khir Mohd Noor pula berkata, peruntukan RM50 juta menerusi DEKAN diyakini memacu industri kreatif, sekali gus menyuntik semangat penerbit untuk menghasilkan karya lebih bermutu.
Khir berkata, sokongan kerajaan itu mampu mengangkat industri filem, terutama pembikinan produksi patriotik ke tahap lebih tinggi.
“Industri sememangnya memerlukan sokongan kerajaan bagi mengangkat kualiti penghasilan sesebuah filem. Umum tahu, pembikinan filem, terutama produksi patriotik dan epik memerlukan bajet yang tinggi.
“Banyak faktor perlu diambil kira seperti pembinaan set penggambaran, penghasilan kostum dan pelbagai aspek lain.
“Inisiatif kerajaan ini seharusnya disambut baik kerana kita percaya, ramai penggiat filem yang mempunyai idea dan kreativiti ‘mahal’, cuma perlu disokong dengan kewangan yang setara,” katanya.
Pada sesi pembentangan Bajet 2023, semalam, kerajaan memperuntukan RM50 juta untuk industri seni kreatif dengan penyediaan DEKAN bagi memperbanyakkan penghasilan filem berunsur warisan negara bagi diketengahkan ke luar negara, selepas mengambil kira kejayaan dicatatkan filem Mat Kilau.
Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM102 juta untuk DKD dan pengecualian cukai duti import serta cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran