Anuar Zain akur kepentingan TikTok - Utusan Malaysia

Anuar Zain akur kepentingan TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi popular, Anuar Zain tidak menolak peranan platform media sosial, terutama TikTok dalam menyalurkan maklumat berkaitan kerjaya seni dengan lebih cepat kepada kelompok sasaran.

Anuar, 52, berkata platform itu juga kini menjadi medium perhubungan untuk berkongsi segala perkembangan yang diterima ramai, baik pengguna muda mahupun yang berusia.

Bagi penyanyi Sedetik Lebih itu, selagi digunakan untuk tujuan kebaikan, dia tidak mempunyai masalah mendekatkan diri dengan peminat menerusi platform media sosial yang semakin popular itu.

“TikTok bagus digunakan individu yang hendak menjalankan perniagaan, kembangkan bakat atau sumber untuk mendapat sesuatu maklumat.

“Bagaimanapun, saya sedikit konservatif. Contohnya, kalau mahu umumkan kemunculan single baharu, mesti diadakan sidang akhbar terlebih dahulu kerana saya yakin hubungan dengan pihak media sangat penting.

“Selepas sidang akhbar, baru maklumat berkaitan disebarluaskan di media sosial, termasuk TikTok,” katanya.

Mengulas perkembangan karier seninya, penyanyi Lelaki Ini itu berkata, dia hanya akan mengumumkan kelahiran single baharu selepas beberapa isu teknikal diselesaikan terlebih dahulu.

“Saya akan umumkan nanti dan sasarannya tahun depan. Saya mengharapkan sokongan jitu pihak media. Sekarang, saya masih menunggu demo akhir daripada rakan di Indonesia. Lirik, melodi semua sudah siap dan saya harap dapat buat terbaik.

“Single baharu nanti tiada sebarang eksperimen kerana saya pentingkan kepuasan diri dan apa yang peminat harapkan. Dulu, saya pernah bereksperimen dalam penghasilan single, tetapi sekarang lebih kepada mencari kepuasan,” jelasnya.

Anuar juga aktif menjayakan pelbagai persembahan dan menyelesaikan konsert bersama kakaknya, Ziana Zain di Singapura, bulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya