Angelina Tan berguru dengan Sabri Yunus - Utusan Malaysia

Angelina Tan berguru dengan Sabri Yunus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA restu daripada ibu untuk menjadi pelakon memberikan cabaran paling besar buat Angeline Tan ketika hendak memulakan langkah sebagai anak seni.

Dibesarkan dalam keluarga yang penuh disiplin dan ketegasan membuatkan pelakon sitkom, Pi Mai Pi Mai Tang Tu pernah memberontak seketika disebabkan pilihan hidupnya tidak mendapat ‘lampu hijau’.

Masakan tidak, ketika itu, orang tua sering beranggapan industri seni sarat ‘lumpur dan noda’, malah pelbagai persepsi tidak baik dilemparkan terhadap pelakon, penyanyi atau sesiapa saja yang bergelar pelaku seni.

Menepis anggapan dan stigma tersebut, pelakon yang terkenal dengan watak Lucy dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu membuktikan dia tidak pernah dilanda sebarang gosip murahan mahupun cerita liar sepanjang bergelar insan seni.

Baginya, lakonan adalah kerjaya yang perlu digalas secara profesional dan penuh dedikasi.

“Zaman saya bermula dulu, kami semua pergi ke set penggambaran dengan satu tujuan iaitu untuk berlakon. Ada yang sudah mempunyai kerjaya lain dan berlakon ini ibarat kerja sampingan.

“Disebabkan itu, jarang ada gosip atau berita tidak baik mengenai pelakon. Selesai rakaman atau penggambaran, masing-masing balik rumah untuk bersama keluarga,”tuturnya memulakan bicara.

Wajah Komersial

Siapa sangka kunjungan kali pertama ke kedai gambar ketika berusia 19 tahun membuka ruang rezeki buat ibu kepada dua cahaya mata bergelar anak seni.

Sekitar tahun 1980-an,Angeline yang menuntut diSekolah Tinggi Kuen Cheng, Jalan Syed Putra pergi ke kedai tersebut untuk mengambil gambar bersama rakan sekolahnya.

Ketika itu, jelasnya, sekolah tersebut hanya dikhususkan kepada murid perempuan sebelum menerima kemasukan pelajar lelaki.

Pemilik nama sebenar Tan Yoke Yeah hanya berjalan kaki dari sekolah atau menaiki bas beramai-ramai kerana jarak yang dekat ke Petaling Street.

“Semasa pemilik kedai itu mencuci gambar saya sedang mengadakan persembahan sempena Hari Guru di sekolah, dia tanya sama ada saya berminat untuk berlakon. Dia bertanya hanya dengan melihat sekeping gambar.

“Ketika itu, dia memberi semangat sebab tengok saya seperti minat berlakon. Tambahan pula, adik kepada pemilik kedai itu adalah seorang pelakon.

“Saya cakap tidak minat dan tidak mempunyai masa untuk ke set penggambaran, apatah lagi agak mustahil pihak sekolah akan memberikan kebenaran. Jadi, saya tolak cara baik,” katanya.

Pada 1986, ketika Angeline mengunjungi semula kedai itu, pemilik kedai tersebut sekali lagi menegurnya selepas dia memenangi pertandingan ratu cantik.

Pemilik kedai tersebut beria-ia ingin ‘melamar’ Angeline berlakon kerana ketika itu, dia baru menamatkan alam persekolahan.

“Selain kedai gambar, dia juga mengusahakan syarikat produksi dan benar-benar mahu saya cuba berlakon.

“Dia berusaha meyakinkan saya, lakonan tidak akan mengganggu kehidupan harian kerana jadual tetap akan diberikan kepada setiap pelakon,” katanya.

Menang Ratu Cantik

Angeline yang begitu penyayang terhadap haiwan pernah memenangi tempat kedua pertandingan ratu cantik ketika Pesta Pulau Pinang 1985. Tanpa pengalaman dan hanya

berbekalkan wajah semula jadi yang cantik, Angelina berjaya menambat hati juri untuk berada pada kedudukan selesa. 

Setahun selepas itu, dia dikalungkan mahkota pertandingan Ratu Cantik 1986.

Sejak itu, rezekinya melimpah-ruah selepas mendapat tawaran menjadi model bagi kalendar dan majalah. Angeline macam goreng pisang panas kerana ramai pengarah dan penerbit sudah mula mengenalinya.

Bertitik tolak daripada itu, Angeline akhirnya akur dengan permintaan pemilik kedai tersebut yang benar-benar menginginkan pelakon baharu sepertinya.

Empat Sekawan, Keluarga perkenal nama

Akhirnya,  Angeline mula menjejakkan kaki ke RTM pada 1986 dan berlakon dengan kru produksi di Studio 1 menerusi siri drama Cina, Empat Sekawan dan Keluarga yang mempunyai dua slot serta diarahkan dua pengarah wanita.

“Saya diperkenalkan kepada pengarah, Nana Tan. Tidak lama selepas itu, dia ajak saya datang berjumpa dan memberikan watak heroin dalam drama baharu.

“Bayangkan saya tiada pengalaman dan tidak mengetahui apa-apa mengenai seni lakon terus menggalas watak utama.Ketika itu, saya melakonkan watak sebagai anak perempuan yang kuat melawan ibu bapa dan mahukan kehidupan bebas. Dia jatuh cinta dengan seorang penyanyi.

“Rezeki saya tidak pernah putus menerusi drama Empat Sekawan dan Keluarga sehingga RTM menamatkan produksi drama rantaian tersebut pada 1998,”kongsinya.

Mengulas bayaran yang diterima pelakon yang tidak mempunyai darah seni dari susur galur keluarga, katanya, ketika itu bayaran adalah berbaloi.

Pelakon turut menerima elaun pengangkutan dan makan yang disediakan RTM.

Set sitkom sekolah Bahasa Melayu

Minat dan kesungguhan berlakon menyebabkan Angeline meneruskan karier dengan menyertai sebuah syarikat produksi Cina pada 1992.

Ketika itu, dia mula berjinak- jinak dengan sinematik menerusi drama Pak Din KK. Dia bersyukur digandingkan dengan Sabri Yunus yang dianggap sebagai guru dalam lakonan.

“Masa itu, abang Sabri pegang watak bos dan saya sebagai kerani. Selain Sabri, Abon dan Datin Marlia Musa juga berlakon sama. Abang Sabri ialah guru pertama saya kerana dia otai dalam bidang ini.

“Saya bersyukur kerana adegan kami bersama agak banyak, pada masa sama, saya dapat berlakon dan belajar serentak,” katanya.

Angeline pernah berlakon sitkom komedi arahan Othman Hafsham berjudul Camni Camtu untuk terbitan RTM pada 1993 sebelum menyertai Pi Mai Pi Mai Tang Tu (1994) yang disiarkan di TV3.

Ketika itu, katanya, arwah Zami Ismail pernah menggantikan Othman mengarahkan sitkom yang menamatkan rakaman sekitar tahun 2000.

Zaman itu juga, dia sudah banyak menerima tawaran sebagai penghias muka depan majalah dan surat khabar serta pelbagai iklan lain yang datang serentak.

Kongsinya, detik itu menjadi titik tolak perubahan besar dalam hidupnya, walaupun dia tidak pernah menyambung pelajaran peringkat tinggi.

Siapa sangka, hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), rezeki Angeline datang dari sudut lain melalui bakat semula jadi yang dikurniakan Tuhan.

Mengenai kemahiran berbahasa Melayu, Angeline memberitahu produksi sinematik Cina yang menerbitkan sitkom waktu itu adalah ‘sekolah bahasa Melayu’ pertamanya.

Di situ, katanya, semua pelakon bertutur dalam pelbagai loghat dan mereka juga menjadi guru untuk dia menguatkan lagi penguasaan bahasa Melayunya.

Selepas 36 tahun menceburi seni lakon, Angeline masih aktif menerima tawaran drama dan filem, membuktikan dia masih laku dan mendapat permintaan pengarah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya