KUALA LUMPUR: Ibu yang juga pengurus pelakon, Sweet Qismina dan Adam Lee, Misnah Atan, mengakui sikap tanggungjawab yang dipamerkan aktor tersebut meyakinkan dirinya untuk menerima jejaka itu sebagai menantu.
Misnah berkata, dia merestui hubungan Sweet dengan Adam sejak empat tahun lalu selepas menilai beberapa kriteria yang ada dalam diri pelakon tersebut.
“Adam lelaki yang baik, sopan dan sangat menghormati orang, terutama dengan mereka yang jauh lebih berusia.
“Hatinya juga lembut, mungkin kerana dia cuma ada dua beradik dan merupakan anak bongsu.
“Selama saya uruskan kerjayanya dengan Sweet, dia jenis yang mendengar kata. Saya sudah lama anggap dia seperti anak sendiri walaupun ketika itu, Adam dan Sweet cuma berkawan,” katanya.
Misnah berkata, dia juga bersyukur kerana Adam dan Sweet tidak pernah terpalit dengan gosip liar atau kontroversi sepanjang mereka aktif dalam industri hiburan.
“Saya lihat mereka berdua pandai menjaga diri. Insya-Allah, saya percaya, dia mampu menjaga Sweet dengan baik,” kata Misnah ketika ditemui Utusan Malaysia usai majlis pernikahan pasangan itu di sebuah premis acara di Ampang, dekat sini, semalam.
Misnah berkata, dia juga sejuk hati apabila melihat Adam lebih banyak menghabiskan masa di rumah jika tidak terikat dengan urusan kerja.
“Saya melihat Adam jenis akan terus balik rumah selepas selesai kerja. Dia tidak buat perangai. Jadi, apabila saya lepaskan Sweet kepadanya, saya yakin dia mampu menjaga anak saya sama seperti saya menjaganya selama ini.
“Keluarga Adam juga sangat baik dan menerima Sweet seadanya. Mereka layan Sweet seperti anak sendiri. Alhamdulillah, saya ibu yang paling bahagia apabila mereka selamat disatukan,” katanya.
Misnah juga bersyukur doanya ketika berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah, dua tahun lalu dimakbulkan Allah SWT.
“Satu daripada doa yang saya panjatkat ketika di sana semoga Sweet ditemukan jodoh yang baik. Sweet anak yang sangat baik. Kita tidak tahu perancangan Allah, tetapi apabila tengok cara Adam melayani Sweet, saya tahu dia budak yang baik.
“Kita bukannya malaikat. Semua orang tentu ada kekurangan dan kelemahan. Alhamdulillah, dari awal mereka berkenalan, saya tengok Adam bukan jenis lelaki yang main-main.
“Saya percaya, Sweet berada di tangan dan jagaan yang baik, insya-Allah. Terima kasih buat semua pihak yang mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan keluarga kami,” katanya.
Sweet dan Adam diijabkabulkan semalam, sempena meraikan ulang tahun kelahiran ke-25 pelakon wanita tersebut.
Pada majlis itu, Sweet menerima mas kahwin RM2,410.97, selain lima dulang hantaran.