Saya tak ‘makan seorang’ - Ezad Lazim - Utusan Malaysia

Saya tak ‘makan seorang’ – Ezad Lazim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Ezad Lazim, menolak andaian punca utama dia tidak menjayakan konsert Resolusi Exists yang bakal berlangsung pada 18 November ini disebabkan lebih mengutamakan persembahan solo.

Menurut Ezad, tidak wujud istilah mahu ‘makan seorang’ kerana tawaran menjayakan konsert itu hadir pada masa tidak tepat disebabkan dia sudah mempunyai komitmen lain.

“Kenapa wujud cakap-cakap begitu sedangkan umum tahu, saya sudah buat show solo sejak meninggalkan Exists. Malah, ketika menyertai program Gegar Vaganza, saya juga beraksi solo.

“Kalau nak kata saya ini jenis suka ‘makan seorang’, anggota Exists lain pun ada buat projek solo masing-masing dan ini bukan perkara baharu buat kami.

“Sebenarnya, semua ini berbalik kepada soal rezeki. Apa yang berlaku ini saya anggap bukan rezeki. Mungkin kali ini rezeki Mamat dan saya gembira dia dapat menjayakan konsert itu,” katanya.

Ezad berkata demikian semasa ditemui pada sidang media Mini Showcase Jiwa & Lagu Ezad Lazim yang diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), baru-baru ini.

Selain itu, kata Ezad, dia juga tidak menyangka masih ramai yang beranggapan wujud perselisihan faham antara dirinya dengan anggota kumpulan Exists yang lain berikutan ketiadaannya pada konsert tersebut.

Lebih menjadi perhatian apabila dia turut memuat naik satu status di laman Facebook pada hari yang sama sewaktu Exists mengumumkan berita konsert berkenaan.

“Status itu sebenarnya merujuk kepada pengalaman isteri berdepan dengan masalah keluarga. Tidak sangka pula ada yang salah sangka dan menganggap saya disisihkan oleh Exists.

“Tidak boleh nak salahkan netizen juga sebab kebetulan pada hari yang sama, Exists mengumumkan bakal mengadakan konsert tanpa saya.

“Sudah saya jelaskan sebelum ini, Exists ada menawarkan untuk beraksi dalam konsert itu, tetapi saya terpaksa tolak kerana sudah mengikat kontrak mengadakan mini showcase di Langkawi pada bulan sama.

“Saya ada juga bertanya, apakah berkemungkinan untuk Exists menukar tarikh. Ini kerana saya memang teringin mengadakan persembahan bersama mereka, namun permintaan sukar ditunaikan berikutan masalah lokasi.

“Lagipun, penganjur meminta jasa baik saya supaya tidak mengambil persembahan lain kerana tidak mahu Mini Showcase Jiwa & Lagu Ezad Lazim yang bakal dijayakan terjejas,” katanya.

Mengulas penganjuran mini showcase yang bakal diadakan di Aseania Resort & Spa, Langkawi selama dua malam iaitu pada 25 dan 26 November depan, Ezad meluahkan rasa teruja.

Ini kerana buat julung kali, dia ditawarkan beraksi secara solo untuk persembahan seperti itu.

“Sejujurnya, saya tidak pernah ditawarkan mengadakan sebarang showcase secara solo. Saya pernah mencadangkan kepada stesen penyiaran untuk menerbitkan sebuah program hiburan yang menyaksikan saya beraksi solo, tetapi ditolak.

“Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan sesiapa kerana sedar lagu solo saya tidak sekuat lagu yang pernah didendangkan bersama Exists,” luahnya.

Untuk persembahan itu, Ezad akan diiringi band AANTU di bawah pimpinan penyanyi dan komposer, Adzrin Azhar.

Adzrin turut tampil pada persembahan pembukaan, selain berpadu suara dengan Ezad.

Maklumat pembelian tiket boleh didapati menerusi laman web http://onlineticket.vip.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya