KUALA LUMPUR: Perjalanan vokalis kumpulan Kapilla, Roy, dalam Gegar Vaganza 9 (GV9) terhenti apabila penyanyi itu diumumkan sebagai peserta pertama tersingkir.
Meraih markah sebanyak 53.20, penyanyi berasal dari Kelantan itu berada pada kedudukan tercorot, sekali gus terpaksa akur meninggalkan program tersebut.
Roy memaklumkan, dia sudah menyangka akan tersingkir berdasarkan mutu persembahannya ketika membawakan lagu Izinkan Selamanya Namamu Di Hati yang dipopularkan kumpulan EYE.
“Saya sudah tahu dan nampak dari awal lagi, tetapi saya kuatkan semangat untuk datang juga buat persembahan.
“Saya tidak perlu tertanya-tanya ke mana saya akan pergi kerana sudah tahu.
“Memang banyak (nyanyian) saya yang tidak okey. Apa yang dikatakan juri itu betul,” katanya pada sidang media selepas selesai persaingan minggu kedua GV9, malam tadi.
Kata penyanyi berusia 54 tahun itu, dia bangga kerana dapat membuat persembahan di atas pentas GV yang baginya, cukup hebat dan gah.
“Saya bangga dan berterima kasih. Saya cukup bertuah kerana dapat berada di pentas GV yang begitu besar bersama rakan-rakan artis lain.
“Kita tengok rakan-rakan artis yang pulang dari GV, mereka banyak menerima jemputan untuk membuat persembahan.
“Bagi peminat baru, mungkin selepas ini mereka akan kenal siapa penyanyi dan lagu yang pernah kami semua nyanyikan, Insya-Allah,” ujarnya.
Mengulas tentang penyingkiran Roy, juri tetap GV9, Datuk Ramli MS berkata, persembahan penyanyi itu pada persaingan minggu kedua kurang baik berbanding peserta lain.
“Pemarkahan adalah berdasarkan persembahan peserta selama tiga minit. Kalau mereka tidak menyanyi dengan betul, mereka akan tersingkir.
“Ini adalah kenyataan kerana penyanyi lain membuat persembahan lebih baik,” katanya.
Pada persaingan yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam itu, Tomok diumumkan sebagai juara mingguan apabila meraih 80 markah.
Turut berada pada kedudukan tiga teratas adalah penyanyi Singapura, Hairul Nizam yang memperoleh 79.80 markah, disusuli Shila Amzah dengan 78.90