KUALA LUMPUR : Penyanyi, Andi Bernadee, 30, meluahkan perasaan terkilan apabila ada dalam kalangan netizen melontarkan komen kurang manis terhadap peminat yang menyerbunya ketika menjayakan konsert di Bintulu, Sarawak, semalam.
Tegas Andi, komen seperti itu tidak sewajarnya dikeluarkan, walaupun mungkin ada yang tidak sengaja melontarkan kata-kata sebegitu di media sosial.
“Mereka ada melontarkan komen kurang manis terhadap peminat yang menyerbu saya ketika berada di pentas. Jangan cakap begitu, saya tidak setuju.
“Mereka sebenarnya sangat teruja, sama seperti saya yang teruja untuk membuat persembahan. Energi kami semua sama pada malam itu, tambahan pula kami sudah lama tidak bertemu.
“Kali terakhir saya buat persembahan di Bintulu sekitar 2019, sebelum pandemik. Dulu pun peminat turut serbu, tetapi semalam paling ramai sampai ke pentas,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Andi berkata demikian bagi mengulas kejadian serbuan peminat ketika dia menjayakan persembahan sempena Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak, semalam.
Penyanyi lagu Donde dan Aku Di Sini itu bagaimanapun, telah meminta penganjur menghentikan seketika persembahannya kerana bimbang keselamatan peminat dan penonton yang berada di pentas.
“Semasa saya buat persembahan, keadaan jadi di luar kawalan. Kami tidak jangka peminat akan naik ke pentas kerana mahu merakamkan gambar.
“Bila ada yang lain nampak, ramai ambil peluang naik pentas untuk merakamkan momen. Saya terpaksa minta hentikan sebentar persembahan sebab bimbang keselamatan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, kata Andi, dia berharap tiada kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap peminatnya pada acara tersebut.
“Saya perasan ada seorang peminat kecil berada di pentas itu dan berharap dia tidak terkena percikan bunga api ketika ramai menyerbu.
“Setakat ini, saya tidak dimaklumkan tentang sebarang kejadian tidak diingini dan berharap peminat kecil itu tiada apa-apa,” katanya.