KUALA LUMPUR : Pelakon jelita, Rozita Che Wan atau Che Ta, 49, menolak tuduhan pelbagai pihak yang menganggap tindakannya membuat ujian ketelapan air terhadap inai jenamanya sebagai meniru usaha yang dilakukan oleh selebriti lain.
Che Ta berkata, ujian klinikal itu adalah inisiatif yang dilakukannya bagi melenyapkan rasa was-was pengguna, selain memastikan kaedah yang digunakan tidak sama dengan mana-mana jenama lain.
“Saya faham apabila kita buat sesuatu selepas orang lain, ada yang kata kita meniru. Tetapi, tiada istilah meniru sebab rakan niaga saya, Anas Zahrin sudah lama meminta saya untuk ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi tujuan itu (ujian klinikal inai).
“Tetapi, saya yang terlalu sibuk dengan penggambaran dan pelbagai urusan lain. Cuma, baru-baru ini saya berkesempatan untuk pergi dan lihat sendiri proses ujian itu dilakukan. Paling utama, produk saya tidak sama dengan inai jenama lain.
“Kami lakukan ujian terhadap kuku manusia dan satu-satunya jenama inai yang berbuat demikian. Jenama lain pula membuat ujian menggunakan kaca dan lateks,” katanya ketika ditemui pada majlis A Night With Rozita Che Wan yang bertemakan Bollywood di ibu negara, baru-baru ini.
Selain itu, jelas Che Ta, usaha untuk menjalankan ujian klinikal itu telah dibuat sejak tiga bulan lalu.
“Kita sudah hantar ke makmal sejak tiga bulan lalu dan pihak UMT melalui Fakulti Perikanan dan Sains Makanan telah menjalankan ujian terhadap inai jenama Che Ta. Syukur apabila inai ini diiktiraf selamat dan sah dibawa solat.
“Sebenarnya, lambakan inai yang ada dalam pasaran seperti serbuk, inai siap bancuh atau inai celup segera membuatkan ramai dalam kalangan pengguna ragu-ragu sama ada ia boleh dibawa solat atau tidak.
“Atas sebab itu, kami ambil inisiatif bagi meleraikan keraguan pengguna dan berharap dengan pengumuman ini, mereka yakin dengan inai keluaran saya,” katanya.
Pada majlis sama, Che Ta turut berkongsi, produk inai yang dilancarkan bersama rakan niaganya, Anas Zahrin telah terjual 100,000 kotak selepas empat bulan di pasaran.