KOTA BHARU : Lagu hilang ciptaan komposer terkemuka, Omar K bersama Ezra Kong menjadi ‘single’ terbaru Kaka Azraff sebelum keluar dengan album penuh pada tahun hadapan.
Kaka Azraff berkata, lagu yang diterbitkan oleh rakaman terunggul, Warner Music Malaysia tampil dengan mesej mendalam dan mampu menepati citarasa penggemar muzik tanah air.
“Lagu ini berkisahkan tentang kehilangan sebab saya rasa sepanjang dua tahun ini ramai yang mengalaminya (kehilangan).
“Malah, Kaka sendiri merasa episod kehilangan ayah tercinta ketika umur baharu sahaja menginjak 10 tahun dan disusuli pula sahabat karib,” katanya ketika ditemui pada Program Amal YOKUK Karnival 2022 di Pejabat YOKUK,Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Kaka Azraff memberitahu, lagu tersebut dihadiahkan untuk dirinya dan juga kepada semua yang pernah merasa kehilangan.
Katanya, single terbaharunya kali ini agak berbeza berbanding sebelum ini kerana ia menampilkan alunan muzik pop yang diadun bersama elemen tradisional.
“Ini kali pertama Kaka akan bawa lagu yang memang agak ‘slow’ berbanding sebelum ini biasanya lagu Kaka lebih rancak,”
“2023 genap sedekad saya dalam industri. Isnya-Allah saya ada sesuatu untuk dihadiahkan kepada peminat iaitu album baharu,”ujarnya. –UTUSAN