KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Kapilla, Roy, menepis pandangan segelintir pihak yang menganggap dia sudah tidak lagi berminat dengan industri muzik apabila dilihat agak lama menyepikan diri.
Menurut Roy, dia masih aktif menerima tawaran persembahan, namun lebih tertumpu kepada aktiviti seni dan kebudayaan di Kelantan kerana bermastautin di negeri itu.
“Memang ramai orang ingat saya menghilang. Tapi, sebenarnya saya cukup aktif di Kelantan. Di sana, saya banyak dapat tawaran untuk menyanyi lagu dikir barat.
“Mungkin orang tengok saya tidak muncul di skrin televisyen dan kurang mendapat publisiti di media, maka mereka fikir saya sudah tidak berminat dengan muzik,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Roy berkata, atas keinginan untuk mencabar kemampuan, dia terbuka hati menerima tawaran menyertai program Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) setelah melihat kesungguhan pasukan produksi yang sanggup mencarinya di Kelantan.
“Akhirnya, saya sahut juga cabaran ini. Tambahan pula, rakan-rakan artis yang mengenali saya tidak pernah putus asa memberikan kata semangat dan sokongan. Bagi saya, menerusi GV, saya boleh cari pengalaman baru, selain bertemu rakan seperjuangan.
“Saya juga berhasrat untuk belajar teknik vokal dengan betul kerana apa yang saya ada selama ini adalah anugerah semata-mata. Walaupun begitu, kita kena ikhtiar dan belajar jika ingin membawa kerjaya seni ke tahap lebih baik,” katanya.
Ditanya mengenai persediaannya menjelang pertandingan itu, Roy berkata, dia lebih menitik beratkan aspek kesihatan kerana pada usia 50-an, kudratnya mungkin tidak sehebat orang muda.
“Insya-Allah, saya akan berikan yang terbaik sepanjang berada dalam program ini. Datuk Ramli MS pernah cakap, pentas ini bukan macam kita menyanyi di kelab atau acara jemputan.
“Selama 10 minggu berjuang, tentunya kita akan rasa penat mental dan fizikal. Disebabkan itu, saya kena jaga stamina juga,” katanya.
Dalam pada itu, Roy juga meluahkan rasa bimbang dengan harapan peminat dan penonton terhadap kebolehannya menyanyikan lagu genre berbeza, selain rock.
Katanya, dia tidak menolak, sebagai anak jati Kelantan, cabaran terbesar adalah sebutan dalam nyanyian yang memerlukannya berbahasa standard.
“Cabaran untuk orang macam saya ialah sebutan. Kalau kena menyanyi genre lain contohnya rap, saya kena pastikan sebutan itu betul.
“Tetapi, kita ada guru di GV, saya akan cuba belajar dan berikan yang terbaik,”katanya.