KUALA LUMPUR: Selebriti media sosial, Mizz Nina, meluahkan rasa terharu, selain berterima kasih atas doa dan kata-kata semangat yang dikirimkan kepadanya, Noh Salleh serta anak lelaki mereka, Musa.
Perkara itu dikongsikan oleh Mizz Nina menerusi akaun Instagram, malah dia turut mendoakan kembali peminat dan pengikutnya yang sentiasa berdiri teguh di belakangnya.
Selain itu, Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, turut berkongsi sepotong doa yang menyentuh mengenai harapan untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Terima kasih atas cinta, doa dan sokongan terhadap Noh, Baby Musa dan saya.
“Ya Tuhan, jadikan aku lebih baik daripada apa yang mereka fikir tentangku. Maafkan aku untuk apa yang mereka tidak tahu mengenai diri ini. Dan jangan hukum aku terhadap apa yang mereka katakan kepada diri ini,”katanya.
Dalam pada itu, menerusi hantaran berbeza, aktivis kemanusiaan itu berkongsi petikan surah al Sharh ayat kelima yang menyebut tentang ujian.
“Maka bahawa sesungguhnya setiap kesulitan itu disertai kemudahan,”katanya.
Menerusi laporan media tempatan, Noh dan Mizz Nina bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur pada 3 Ogos.
Pada 13 Julai lalu, Noh menyangkal dakwaan perkahwinannya bersama Mizz Nina berdepan masalah.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011. Sekitar April lalu, pasangan itu memperkenalkan Musa sebagai anak angkat bagi menyerikan rumah tangga mereka.