PETALING JAYA: Pelakon popular, Zara Zya mengakui, hubungannya dengan pelawak dan penyampai radio, Shuib cuma setakat berkawan, apatah lagi kini mereka menjalankan perniagaan francais sama, Bubblebee.
Zara berkata, mungkin status yang masih belum berpunya menyebabkan warganet suka melihat keserasian dan ‘menjodohkan’ mereka.
“Sebenarnya bukan gimik bercinta pun. Gambar pertama kami muat naik tidak ada tulis kapsyen ‘mengundang’ atau apa-apa. Netizen pula suka kenen-kenenkan, jadi kita saji apa yang mereka mahu.
“Tak sangka juga sebenarnya, sekeping gambar beribu orang komen. Tetapi, dengan Ben Amir pun warganet jodohkan. Mungkin sebab kami semua masih solo kot.
“Kelakarnya, kalau saya muat naik gambar sendiri bersiap cantik-cantik, hanya mendapat beberapa sahaja tanda suka: Sedangkan saya ada berjuta pengikut di Instagram,” ujarnya.
Zara ditemui pada majlis pelancaran Bubble Bee by Zara Zya di Bandar Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Zara juga menambah, dia tidak boleh menghalang warganet untuk ‘menjodohkannya’ dengan mana-mana rakan pelakon, terutama jika gandingan mereka di layar kaca berjaya.
“Saya terima dengan hati terbuka. Tak ada rimas pun. Dari dulu apa yang saya harapkan adalah doa-doa yang baik daripada peminat.
“Tetapi, kalau ada yang tanya hubungan saya dan Shuib, setakat ini tidak ada apa-apa. Shuib lelaki yang baik, selalu bantu rakan artis untuk berniaga,” katanya.