Masih terkilan, saya tidak akan ke Jakarta - Adi Putra - Utusan Malaysia

Masih terkilan, saya tidak akan ke Jakarta – Adi Putra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Datuk Adi Putra, 41, mengakui masih terkilan dengan sikap pengurusan syarikat produksi, Studio Kembara membuatkan dia enggan menghadiri siri promosi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta, Indonesia, akhir bulan ini.

Adi mendakwa, dia sukar membuang perasaan terkilan dengan tindakan pihak produksi terbabit yang sukar dihubungi sebelum ini, membuatkan dia enggan menjawab panggilan, meskipun telah berulang kali dihubungi mereka.

“Mereka ada 11 kali menghubungi, tapi saya tidak jawab. Saya terkilan kerana pernah menghubungi mereka selama dua minggu untuk meminta penjelasan, tetapi mereka diam.

“Saya tidak menyimpan di hati, malah meminta maaf dan berlapang dada kerana harus bersikap profesional serta berkata benar. Saya mendoakan supaya filem Mat Kilau mendapat perhatian besar di sana,” katanya.

Adi berkata demikian ketika ditanya sama ada dia bakal menghadiri Malam Gala Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta pada 26 Ogos ini.

Dia ditemui pada majlis pra-tonton filem Air Force The Movie : Selagi Bernyawa di ibu negara, hari ini.

Selain itu, kata Adi, dia juga hairan dengan sikap pihak penerbitan tersebut yang disifatkan gagal berkomunikasi dengan baik.

“Setiap manusia tidak sempurna, malah saya hormati penerbit dengan mengikut dan melunaskan amanah yang tertulis dalam kontrak.

“Kita dah sempurnakan tanggungjawab. Saya secara peribadi juga tidak sempurna, ada perasaan seperti gembira, sedih dan terkilan,” katanya.

Ditanya sejauh mana kesediannya untuk membintangi filem Mat Kilau 2 seperti yang dicanang sebelum ini, Adi berkata, dia masih mempertimbangkan perkara itu.

“Komunikasi sangat penting kerana ia membuka jalan kepada diskusi. Jadi, saya akan pertimbangkan sewajarnya. Setiap pengalaman akan ada hikmah,” katanya.

Sementara itu, pelakon yang memegang watak Wahid dalam filem tersebut, Johan As’ari juga terkilan apabila mendakwa produksi Studio Kembara menggugurkan namanya daripada senarai barisan pelakon ke Jakarta.

“Saya tertanya-tanya mengapa mereka menggunakan perkataan digugurkan? Tidak adakah perkataan lebih indah untuk digunakan?

“Saya anggap kelakar dan tidak profesional. Kalau saya tidak pergi, saya okey. Kalau saya dijemput oleh pengedar atau sesiapa pun dari sana, saya okey. Saya tak kisah keluarkan perbelanjaan sendiri,” katanya.

Johan sebelum ini dilihat meninggalkan respons pada ruangan komen hantaran Adi yang membayangkan dia seolah-olah menyokong tindakan pelakon itu.

“Kalau abang Kilau tidak hadir ke malam gala di Jakarta, Yasin berat hati untuk ke majlis tersebut,” tulisnya sambil mengiringi komen itu dengan tanda pagar #taatpadayangsatu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya