KUALA LUMPUR: Filem Eva mencipta sejarah apabila menjadi filem tempatan pertama memenangi pertandingan bulanan kategori thriller dan suspen anjuran Festival Filem Cannes 2023, bulan lalu.
Eva yang diarahkan sutradara, Suhaiza Aziz dipilih sebagai pemenang kategori itu bagi Julai, menundukkan filem Deadline (Emiriah Arab Bersatu) dan Ivy (Jerman).
Kemenangan itu melayakkan Eva dicalonkan untuk merebut anugerah Filem Terbaik Kategori Thriller dan Suspen dan ditayangkan pada acara Festival Filem Cannes 2023 yang dijangka berlangsung pada Mei depan.
Suhaiza dalam kenyataan yang dikongsikan kepada Utusan Malaysia, bersyukur dengan kemenangan tersebut.
Berkongsi kegembiraannya, Suhaiza mendedikasikan kejayaan itu kepada semua penerbit dan pengarah filem tanah air.
“Saya sama sekali tidak menyangka filem Eva akan menang kerana saingan yang diterima bukan calang-calang, terutama apabila filem dari UAE dan Jerman turut dicalonkan.
“Apabila penerbit, Diyana Ismail memaklumkan yang filem ini tercalon, kami semua terkejut.
“Tidak sangka kami boleh terbang sejauh ini. Eva adalah filem arahan saya yang pertama. Apabila filem ini menang, kami rasa sangat bangga kerana membawa nama Malaysia,” katanya.
Kongsinya lagi, kemenangan tersebut bukan sahaja menjadi pemangkin untuk menghasilkan karya yang lebih baik, malah titik tolak untuk dia mendalami lagi seni pengarahan.
“Menang atau kalah adat pertandingan. Jika diberi peluang, saya akan terus membuat karya berkualiti dan memperbaiki kualiti pengarahan.
“Kejayaan filem ini diharap dapat memberi inspirasi kepada pengarah muda, terutama wanita. Saya berharap industri akan memberi peluang kepada pengarah muda untuk menggilap bakat serta kreativiti mereka,” ujarnya.
Filem terbitan D Alpha Legacy Sdn Bhd (M) itu membariskan pelakon seperti Nadia Aqila , Nadia Brian dan Shamsul Danish, selain Datuk Jalaludin Hassan , Tony Eusoff , Hasnol Rahmat , Sheera Iskandar , Jay Iswazir , Azrel Ismail , Zain Ruffedge , Isma Daniel dan Aleeza Kassim.