Ezad terkilan hasrat Exist ke Indonesia masih tertangguh - Utusan Malaysia

Ezad terkilan hasrat Exist ke Indonesia masih tertangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang juga vokalis Exist, Ezad Lazim, terkilan apabila hasratnya bersama anggota kumpulan itu untuk kembali bertemu dan menghiburkan peminat di Indonesia masih belum kesampaian.

Kata Ezad, isu kesukaran menembusi tembok negara itu untuk tujuan persembahan dilihat masih belum selesai dan keadaan itu sangat berbeza dengan apa yang berlaku di tanah air sendiri.

“Memang sudah lama peminat di Indonesia mahukan Exist membuat persembahan di sana, terutama apabila pintu sempadan sudah dibuka. Tengoklah macam mana sebab dari dulu memang susah untuk Exist buat persembahan di sana.

“Saya pun tak faham kenapa begitu. Kalau artis dari sana datang ke sini untuk buat persembahan, senang saja urusan mereka. Kalau kita pula mahu ke sana, macam-macam prosedur terpaksa dilalui,”katanya.

Ezad berkata demikian semasa ditemui pada majlis pelancaran single Meski, duetnya bersama penyanyi Singapura, Nana Karia di ibu kota, semalam.

Selain itu, kata Ezad, dia tidak menolak kemungkinan masalah pengurusan yang tidak tepat menjadi antara punca kesukaran artis tempatan menembusi pasaran negara jiran. 

“Terus-terang, Exist memang menanti peluang untuk ke sana lagi. Mungkin soal pengurusan yang tidak tepat menjadi antara punca yang menyebabkan hasrat kami itu tertangguh.

“Sebelum ini, Shiraz Projects tiada masalah untuk membawa konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza ke Jakarta. Kalau Exist menemui laluan yang tepat, mungkin urusan kami lebih mudah,” katanya.

Selain itu, Ezad juga kehairanan apabila setiap kali perkara itu diutarakan, ia seakan menjadi masalah yang tiada jalan penyelesaian.

“Ia bukan masalah baharu, malah dari zaman Exist aktif dulu. Sampaikan lagu kami yang hendak dipromosikan pun terpaksa diubah sebahagian lirik bagi menyesuaikan dengan bahasa mereka di sana. Dalam era media sosial kini, kita perlu bersikap terbuka dan harap tak adalah lagi isu sebegini.

“Apabila difikirkan balik, memang terkilan kerana ramai peminat memberikan sokongan dan mahu kami ke sana. Harap ada pihak yang betul-betul boleh menjadikan hasrat ini kenyataan. Kalau kita boleh buka pintu luas buat artis luar datang buat persembahan di sini, mengapa susah sangat untuk tembus ke sana?

“Seingat saya, kali terakhir kami buat persembahan di Jakarta ketika mempromosikan album Ada pada 2001. Saya harap, kami masih berpeluang untuk menghiburkan peminat di sana. Tapi, mungkin kami sasar peminat di luar Jakarta seperti Bandung atau Medan pula,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya