KUALA LUMPUR : Bagi mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi utama pilihan rakyat Malaysia, saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV buat julung kalinya berbesar hati mempertaruhkan sebuah naskhah adaptasi terbaharu berjudul Epilog 3 Naga bermula malam ini.
Bakal bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula jam 7.00 malam menerusi slot Dramatix secara eksklusif di platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112), Epilog 3 Naga merupakan sebuah karya adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan Kaz Ishak yang mengangkat genre aksi tentang dunia gengsterism terbitan syarikat produksi Layar Sutra Sdn. Bhd.
Drama 24 episod arahan sutradara Razif Ajiboy ini menampilkan pelakon dan usahawan terkenal, Betty Banafe sebagai penerbit serta turut mengekalkan Kaz Ishak selaku penulis skrip dan pengarah seni.
Plot perjalanan penuh konflik drama Epilog 3 Naga ini mengisahkan tentang kisah tiga sahabat karib yang hanyut dalam memilih jalan hidup sehingga terjerumus dengan kancah jenayah kongsi gelap.
Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata meski sarat dengan aksi lasak, drama ini turut menggabungkan elemen cinta, persahabatan dan pengorbanan untuk memberikan naratif penceritaan yang lebih menghiburkan.
“Kisah cinta dan komedi, tema aksi juga merupakan genre yang sering mendapat perhatian penonton. Walaupun kami jarang mengetengahkan kisah tentang seseorang yang terjebak dengan dunia hitam serta cabaran yang perlu dilaluinya sebagai elemen utama penceritaan menerusi drama-drama yang pernah disajikan sebelum ini, namun kini tiba masanya kami lari daripada kebiasaan dan mengambil langkah berani untuk menyelami dunia gelap gengsterism sebagai nadi penting dalam drama Epilog 3 Naga.
“Drama Epilog 3 Naga, merupakan sebuah naskhah yang sebenarnya sarat dengan elemen emosi. Namun, ia bukanlah tertumpu kepada elemen pergolakan semata-mata, tetapi turut mengandungi mesej dan nilai positif sebagai pengajaran bersama. Saya percaya penceritaan kisah kali ini pastinya bakal membawa kelainan yang menyeronokkan kerana kekuatan jalan ceritanya yang luar biasa dan menghiburkan,”katanya.
Dalam pada itu, pengarah drama tersebut, Razif Ajiboy berkata, naskhah ini merupakan antara usahanya menyingkap kehidupan segelintir remaja dari sisi gelap.
“Punca utama yang mempengaruhi mereka untuk terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral adalah kerana dibesarkan dalam persekitaran yang tidak sepatutnya.
“Drama bersiri Epilog 3 Naga akan memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang pentingnya peranan mereka sepanjang proses pembesaran anak-anak. Langkah pihak Awesome TV yang berani menerbitkan karya ini harus dipuji kerana genre dan penceritaan seumpama ini jarang diketengahkan oleh mana-mana stesen televisyen yang lain,”katanya.
Antara pelakon yang membarisi drama ini ialah Hazama Azmi ,Syarul Ezani, Shafiq ‘Stu’ Rosli, Che Puan Juliana Evans, Atyka Jalil, Katalina, Faizal Hussien, Ridzuan Hashim, Marissa Yasmin dan Sahronizam Noor