KUALA LUMPUR : Penyanyi yang popular dengan lagu Pematah Hati, Nabila Razali, 29, terpaksa menahan selera daripada menikmati makanan pedas bagi menjaga kesihatan kotak suaranya.
Menurut Nabila, dia juga perlu mematuhi nasihat doktor untuk tidak aktif menyanyi buat sementara waktu bagi memberi ruang supaya kesihatannya pulih pada tahap optimum.
“Saya belum sepenuhnya pulih. Tetapi, bagi mereka yang kenal, tentu tahu saya ini bukan jenis yang boleh duduk diam. Sesekali, saya akan ambil beberapa tawaran persembahan untuk berlatih menyanyi.
“Namun, tidaklah sehingga aktif menyanyi dari satu ke satu acara seperti sebelum ini. Berpantang makanan pun masih saya buat. Saya ini suka makan pedas.
“Tetapi, apabila sudah jadi begini, kenalah pantang sikit. Dulu, sambal saya ‘belasah’ makan banyak, 80 biji cili pun boleh lagi.
“Sekarang memang kena kurangkan. Semuanya demi nak sihat cepat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, kata Nabila, ada ketika dia enggan menghampakan peminat yang mahu melihat dirinya beraksi di pentas, apatah lagi jika berpeluang turun padang beramah mesra dengan mereka.
“Saya tahu, kesihatan itu lebih penting, tambahan lagi dengan cuaca sekarang yang tidak menentu. Ada kerisauan juga, tetapi hidup harus diteruskan.
“Saya pun tidak mahu hampakan peminat yang ingin tengok saya buat persembahan. Tapi, saya tetap berhati-hati dan buat apa yang termampu.
“Sekarang ini, ramai sudah buat program dan acara hiburan. Boleh jumpa peminat,”katanya.
Nabila berkata, dia juga sedang dalam proses menghasilkan single baharu untuk mengubati kerinduan peminat yang menunggu karya terbaru daripadanya.
Bagaimanapun, kata Nabila, proses itu dilakukan tanpa tekanan memandangkan dia perlu menjaga suaranya sehabis baik.
“Apa pun, saya bersyukur masih boleh buat persembahan dan menyanyi. Inilah kehidupan anak seni, masih kena teruskan bekerja dan hasilkan karya buat peminat,”katanya.