KUALA LUMPUR : Selebriti dan usahawan popular tanah air, Noor Neelofa, 33, menggesa semua peminat dan netizen supaya berhenti berbalah mengenai isu inai antara jenamanya dengan jenama selebriti lain.
Tahu bahawa isu itu menjadi perdebatan ramai kebelakangan ini, Neelofa, bagaimanapun berharap netizen segera menamatkan episod ‘perang’ itu di media sosial selain meletakkan kepercayaan kepada ketentuan rezeki yang Allah SWT berikan.
“Bagi saya, tak payahlah nak memenatkan anda punya kepala, tangan dan mulut untuk buat benda-benda begitu (bergaduh) sebab Allah sudah tentukan rezeki setiap hamba-Nya dalam setiap perkara.
“Cuma sekarang ini, kita nak cari rezeki yang berkat saja.Kita nak cari rezeki dengan cara yang baik tanpa perlu memaki hamun, mengecam dan menghentam,”katanya.
Neelofa berkata demikian semasa ditemui di sidang media Innai Nunha di Hotel Four Seasons di ibu kota baru-baru ini.
Selain itu, bekas pengacara program MeleTOp ini tidak menolak, kemungkinan perdebatan dan ‘perbalahan’ tentang isu inai ini berlaku kerana tempoh pelancaran produk berlaku pada masa yang dekat.
“Benda ini jadi sebab lancar pada waktu yang lebih kurang sama. Kalau ada jarak masa sikit, mungkin tak timbul isu ini. Tetapi, saya percaya, di akhir waktu nanti, segala perdebatan atau isu ini akan terpadam dengan sendirinya.
“Kemudian, kita akan nampak siapa yang bertahan dan kekal. Sama juga macam saya jual tudung sebelum ini. Masa saya keluarkan tudung, banyak yang berbunyi dan bising.
“Lepas itu, banyak pula yang keluarkan tudung kemudiannya.Tetapi, jenama mana yang dilihat separuh jalan atau hangat-hangat tahi ayam? Mana yang kekal dalam pasaran?”katanya.
Dalam pada itu, kata Neelofa, dia tidak berniat untuk bersaing atau menghalang mana-mana jenama lain untuk menjalankan perniagaan yang sama sepertinya.
Dalam masa yang sama, dia juga tidak pasti mengapa ramai yang cuba melaga-lagakannya dengan rakan artis lain.
“Bukan kali pertama… Dalam bisnes, kita ada buat benda lain seperti baju, tudung dan sebagainya.Ada juga selebriti lain yang buat benda yang sama. Kita di sini, bukannya nak bersaing tak nak dia berniaga atau nak kita saja berniaga, tidak!
“Rezeki Allah itu luas. Masing-masing ada cara sendiri, rezeki pun masing-masing. Yang melaga-lagakan dan yang memanaskan ini adalah orang luar termasuk mereka yang tak faham tentang konsep rezeki.
“Tak mengapalah. Kita di sini, tenang-tenang saja. Orang nak cakap apa, kita relaks,”katanya.
Terdahulu, ada kalangan netizen didakwa cuba melaga-lagakan Neelofa dengan rakan selebriti lain yang turut berniaga produk yang serupa.
Selain itu, tambah satu lagi isu apabila inai jenamanya juga menjadi bualan ramai dan netizen mempertikaikan status produk itu dan turut membuat video seolah-olah ia tidak sah dibawa solat.