PGL; Tak dapat janji, nanti orang tertunggu-tunggu -Tiara Jacquelina. - Utusan Malaysia

PGL; Tak dapat janji, nanti orang tertunggu-tunggu -Tiara Jacquelina.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan pengasas Enfiniti Productions, Puan Seri Tiara Jacquelina, enggan memberikan kata janji kepada para pengikut teater Muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL), bagi mengadakan semula pementasan teater tersebut.

Tiara menjelaskan, pengurusan syarikatnya memutuskan berbuat demikian berikutan penularan wabak Covid-19 yang telah melumpuhkan sebahagian besar negara di dunia.

“Pada zaman pandemik ini, jika kita lalukan konsert satu malam masih okey lagi. Tetapi, jika ingin membuat sebuah teater, selalunya ia berjalan selama sebulan.

“Seram gila! Ia kerana apabila ada sahaja apa-apa yang berlaku, kita kena batalkan. Dan harga untuk memulakan semula memakan bajet berjuta-juta. Jumlah itu adalah terlalu tinggi buat masa ini.

“Malah, jika nak kata tunda, tunda dan tunda. Saya sudah penat mahu tunda lagi. Sudah terlalu banyak kali menunda sehingga kita berbincang untuk membayar semula wang penonton yang telah membeli tiket daripada menunggu yang tiada kesudahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Tiara turut mendedahkan dia tidak mahu mengambil risiko bagi meneruskan pementasan berkenaan, berikutan situasi penularan pandemik yang masih dilihat tidak menentu lagi, pada masa ini.

Pelakon filem epik PGL ini bagaimanapun ada memberi bayangan akan kembali dengan teater paling dinantikan ramai itu apabila keadaan kembali normal sepenuhnya.

“Jika ada rezeki, siapa tahu pada tahun-tahun yang mendatang kita akan lakukan semula. Saya pun tidak boleh janji, nanti orang tertunggu-tunggu. Bila ada rezeki, akan jadi semula.

“Apa yang saya boleh katakan, jika mahu lakukan sekarang ini agak sukar. Seram, jika apa-apa terjadi akan teruk ruginya nanti.

“Saya tidak mahu mengambil risiko. Jadi, sebab utama PGL ini dibatalkan oleh kerana situasi pandemik sekarang yang tidak menentu. Mungkin bila kesemua akan kembali normal seratus peratus, akan terjadilah. Siapa tahu kan,” dedahnya lagi.

Sebelum ini, syarikat produksinya telah mengumumkan, perancangan penerbitan baharu pementasan Muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) yang sudah tertangguh hampir tiga tahun lalu, terpaksa dibatalkan.

Terdahulu, Tiara dan syarikat produksinya juga telah mengangkat karya epik Puteri Gunung Ledang ke layar perak pada tahun 2004.

Filem arahan sutradara Saw Teong Hin dan skrip ditulis oleh pengarah terkenal, Allahyarham Mamat Khalid mencipta rekod sebagai filem Melayu paling mahal pernah diterbitkan, iaitu sekitar RM 20 juta.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya