KUALA LUMPUR : Pelawak, Shahrol Shiro, 38, menganggap keputusan pihak berkuasa untuk menutup operasi kelab Comedy Crackhouse secara sementara adalah satu tindakan yang betul.
Menurut Shahrol, ia adalah bagi memudahkan siasatan isu yang sedang hangat diperkatakan pada waktu ini.
“Ada dua persoalan yang bermain di fikiran saya.Pertama, sebagai penganjur dan pemilik premis kita punya hak untuk menghalang sebuah persembahan jika ianya melanggar batas-batas terutama isu sensitif yang melibatkan kesucian agama islam.
“Adakah ia tidak diberitahu kepada yang akan membuat persembahan terlebih dahulu? Dan jika ia melanggar batas tersebut kenapa penganjur tidak terus naik ke atas pentas dan membatalkan persembahan serta merta dan kita melihat seolah penganjur meraikan kandungan komedi tersebut,”katanya.
Selain itu, Shahrol juga mempertikai sama ada penganjur terbabit pernah melepaskan bahan kandungan seperti itu sebelum ini atau lebih sensitif.
“Ini kerana ada lagi beberapa video yang kian tular dan dipercayai akan mengundang kemarahan masyarakat lagi.
“Pada pendapat saya biarlah ditutup sementara bagi membantu siasatan.Analogi kolam renang yang digunakan Afdlin Shauki agak kurang tepat digunakan untuk kes ini.
“Ada masa kita bangkang dan ada masa kita bertenang buat sementara.Bersama kita lahirkan komedian di Malaysia mempunyai pemikiran yang cerdas tanpa melanggar batas dan ada kelas yang tersendiri,”katanya.
Shahrol berkata demikian dalam perkongsiannya di Instagram hari ini selain mengulas kenyataan pelawak Afdlin Shauki di Facebook yang sebelum itu tidak bersetuju dengan tindakan penutupan sementara kelab komedi tersebut.
Menurut Afdlin, Comedy Crackhouse mengamalkan konsep open mic dan terbuka kepada amatur atau pelawak profesional yang ingin mencuba melakukan komedi di hadapan khalayak ramai.
“Saya membangkang sekeras-kerasnya penutupan sementara Comedy Crackhouse oleh kerana perbuatan seorang individu yang bersalin pakaian atas pentas tempoh hari. Crackhouse merupakan tempat di mana banyak pelawak stand up baru mempelajari seni lawak ini. Open mic di buka kepada amatur yang ingin mencuba berkongsi bahan kandungan mereka di khalayak ramai. Untuk memeriksa bahan kandungan kita baik ke tak bagi komedi stand up, kita kena persembahkan komedi kita di depan orang ramai baru kita tahu mana yang boleh pakai dan tak boleh pakai.
“Sama macam atlet yang kena praktis sampai bagus. Tak akan kita tutup kolam renang pasal seorang peserta renang ambil steroid? Itu salah perenang bukan salah kolam renang,”katanya.
Terdahulu, susulan tularnya perbuatan seorang wanita didakwa menghina Islam apabila menanggalkan tudung dan baju kurungnya ketika membuat persembahan lokasi tersebut baru-baru ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah bertindak melakukan penutupan sementara terhadap premis berkenaan.