KUALA LUMPUR : Pendatang baru seni suara, Syazwan Syahmi, 23, tidak menolak meski hasrat untuk menjadi penyanyi sudah lama tertanam dalam jiwa namun pelajaran perlu menjadi keutamaan.
Menurut Syazwan atau nama sebenarnya Syazwan Syahmi Muhammad Rosdi, dunia seni tidak asing baginya kerana sejak berusia 14 tahun sudah mula mengembangkan bakat nyanyiannya.
“Saya sedar pentingnya pelajaran. Oleh sebab itu saya habiskan dahulu pendidikan diploma dan mencuba bidang nyanyian setelah tamat pengajian, ikut saranan ibu bapa.
“Minat menyanyi telah pun bermula ketika saya berusia 14 tahun lagi dan semuanya bermula ketika saya berjinak-jinak bermain gitar, suka-suka.
“Tak sangka, minat tersebut beralih kepada nyanyian pula dan dari situlah timbulnya minat yang mendalam dalam bidang ini,”katanya yang kini merupakan lulusan Diploma dalam bidang Ukur Bahan (Quantity Surveyor).
Berkongsi mengenai langkahnya dalam bidang seni, Syazwan juga bersyukur kerana langkahnya lebih meyakinkan di bawah pengurusan label Rocketfuel Entertainment.
Kata Syazwan, segala-galanya bermula setelah dia menyertai pertandingan Penyanyi Top ERA Kucate yang diadakan pada Februari lalu dan kemudiannya berjaya membawa pulang gelaran juara.
“Syukur Alhamdulillah di atas kemenangan ini kerana ia telah membuka ruang buat saya untuk berada di bawah naungan Rocketfuel.Selain memenangi wang tunai berjumlah RM5,000, sekaligus saya menerima kontrak rakaman bersama-sama Rocketfuel.
“Sekarang saya pun baru muncul dengan single pertama, Salahkanku. Sebelum ini, saya sering menghasilkan nyanyian cover di YouTube dan menyertai pelbagai pertandingan karaoke sehinggalah muncul sebagai juara Penyanyi Top ERA Kucate,” jelasnya.
Berkongsi mengenai single tersebut, kata Syazwan, Salahkahku merupakan hasil ciptaan komposer terkenal, Sharon Paul, dan juga penulis lirik berbakat besar, Que Afiq.
“Proses rakaman yang memakan selama sehari di Studio Musicwerks banyak memberi pengalaman baharu buat saya. Terasa seronok ketika berada di studio milik kak Sharon kerana segala-segalanya masih baharu buat saya.
“Pengalaman merakamkan lagu sangat bermakna apabila diselia oleh seorang komposer disegani kerana banyak perkara yang saya pelajari daripada beliau.
“Saya tahu, perjalanan seni saya masih jauh, jadi banyak lagi yang perlu saya timba,” katanya.
Dalam pada itu, kata penyanyi muda ini, dia tidak menolak akan cuba menyanyi dalam genre lain sekiranya bersesuaian.
“Mungkin terlalu awal untuk saya labelkan jenis penyanyi yang ingin saya jadi, namun saya tidak menolak untuk mencuba genre yang lain kerana dunia muzik itu luas dan banyak cabangnya,”katanya.
Lagu ‘Salahkahku’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.