PUTRAJAYA: Pelakon dan selebriti media sosial, Putera Amaris, 37, percaya bahawa dia perlu tetapkan niat dan teruskan usaha untuk bergelar seorang individu yang berjaya dan kaya demi membantu lebih ramai golongan susah.
Kata Amaris, sejak empat tahun menggerakkan kerja amal bersama pasukan sendiri, dia tidak pernah berhenti berdoa agar Allah SWT mengurniakan rezeki yang melimpah ruah supaya sasaran untuk membantu mereka yang memerlukan dapat dicapai.
“Saya buat kerja-kerja amal ini atau infaq ini, semuanya Lillahi Taala. Demi Tuhan. Demi nak membantu orang yang susah. Untuk itu, saya memang set diri ‘aku kena kaya’ untuk bantu lebih ramai bagi orang yang memerlukan.
“Dalam masa yang sama, saya juga bertuah kerana isteri juga merupakan tulang belakang dan pemberi semangat kepada saya dalam menggerakkan program infaq, bersama-sama dengan pasukan sendiri.
“Saya pun belum lagi bergelar jutawan. Tetapi saya berdoa dan mengharapkan doa semua orang agar saya dikurniakan rezeki lebih untuk sama-sama saya kongsikan dengan orang yang susah,”katanya.
Amaris berkata demikian semasa ditemui di majlis pelancaran kempen Pelaris Challenge by Soleque Cosmetics yang diadakan di sini, semalam.
Bertindak sebagai ikon kempen tersebut, Amaris, bagaimanapun menjelaskan, program infaq terdahulu menerusi kempen Sama-Sama Kenyang dengan kerjasama Pertubuhan Dapur Pasak Kuala Lumpur (Dapur Pasak) masih diteruskan.
“Program itu masih berjalan seperti biasa setiap hari. Kami tak berhenti. Sasaran kami untuk membantu asnaf dan artis veteran juga masih digerakkan termasuk usaha untuk mendapatkan rumah untuk artis veteran yang tak berkemampuan.
“Walaupun tanggungjawab kini bertambah menerusi kempen Pelaris Challenge ini, ia tak membuatkan saya rasa penat atau terbeban pun. Malah, rasa seronok dan teruja sebab ia juga berkaitan dengan program infaq dan amal khususnya golongan bumiputera.
“Saya tak cukup rehat atau tak cukup tidur pun tetap saya nak buat. Mudah-mudahan Allah panjangkan umur untuk saya teruskan kerja-kerja amal ini dan harap Dia juga izikankan yang terbaik untuk usaha-usaha yang dijalankan,”katanya.
Dalam pada itu, untuk info, Pelaris Challenge merupakan usaha sama di antara Amaris dengan Soleque Cosmetics Malaysia dan Persatuan Aspirasi Primadona Putrajaya.
Ia digerakkan selama sebulan bermula semalam dan akan berakhir pada 3 Ogos depan.
Menurut Amaris, program ini merupakan cetusan idea daripada Soleque Cosmetics untuk membantu dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia terutama golongan wanita muda dalam menambahkan pendapatan dan kewangan.
Program ini menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM500,000.
Seiring dengan penganjuran itu, turut digerakkan ialah Program Infaq Wanita Muda Soleque x Putra Amaris dalam usaha membantu wanita muda, ibu tunggal dan golongan B40 yang memerlukan dengan meliputi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. – UTUSAN