KUALA LUMPUR : Pelakon dan selebriti media sosial, Aeril Zafrel mendakwa, harga makanan yang dinikmati olehnya bersama isteri, Wawa Zainal, ketika berkunjung ke sebuah restoran popular di Turki tidak mahal sebagaimana yang disangka ramai.
Menurut Aeril, dia sedar ramai masih bercakap mengenai percutian mewahnya termasuk isu makan daging stik berharga RM10,000 itu namun sebolehnya enggan terlalu memfokus ke arah itu.
Bagaimanapun, kata aktor berumur 32 tahun itu, stik yang dihidang itu berbaloi dibayar kerana rasanya yang sedap selain momen ketika itu yang disifatkan sangat berharga.
“Sebenarnya harga dia biasa saja. Tapi sebab kita tukar mata wang, itu yang nampak mahal. Ada cas tersembunyi, dia tabur garam dan potong daging dah RM1,000.
“Untuk momen itu bukan senang agaknya sebab Salt Bae kira top di dunia. Rugi juga kalau tak rasa. Pengalaman tu tak boleh dibeli dengan wang ringgit.
“Restoran Salt Bae satu dunia ada, jadi kalau saya pergi Turki, memang akan pergi lagi. Memang sedap, tak pernah makan stik sesedap itu.Bila kita pergi bercuti, sebenarnya kalau berkira sangat baik tak payah pergi. Saya pun bukan guna duit sendiri, kongsi dengan kawan-kawan,”katanya.
Aeril berkata demikian ketika tayangan filem Musyrik yang diadakan di TGV One Utama, semalam.
Selain Aeril, filem Musyrik turut dibintangi barisan pelakon hebat lain antaranya Ashraf Muslim, Ruhainies, Aishah Ilyas, Neera Azizi dan ramai lagi.
Ditanya berapa anggaran kos keseluruhan percutian mereka, pemilik nama Suhairil Sunari memilih untuk kunci mulut.
“Tak boleh lah cerita (berapa habis), nanti viral penat saya,”katanya ringkas.
Dalam pada itu, pelakon drama Cinta Fatamorgana turut menjawab apabila rata-rata netizen menyifatkan percutian mereka sebagai ‘kayangan’ dan menjadi impian ramai orang.
“Kami bukan mewah beli barang tapi sebab last minute. Itu yang banyak habis duit. Contoh dekat Switzerland kos tempat tinggal dan pengangkutan dah RM40,000.
“Kami terkejut juga pengangkutan dari lapangan terbang ke tempat penginapan saja dah RM5,000.
“Untuk makan tengah hari saja bagi tujuh orang jumlahnya dalam RM1,000. Itu pengalaman pertama kami jadi banyak yang dipelajari. Selepas ini kalau nak pergi Switzerland bawa Brahim saja,”katanya.
Sekadar info, Aeril dan Wawa mendirikan rumah tangga pada 2013.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 8, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 6, dan Ayya Soffya, 2, dan Muhammad Fahri yang dilahirkan pada 30 November tahun lalu.