KUALA LUMPUR : Mendapat khabar mengenai kekasih hatinya telah berkahwin dengan lelaki pilihan, pelakon filem Tiga Janda Melawan Dunia, Abbas Mahmood, 24, mengaku dia tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak menerusi perkongsian luahan hatinya di Instagram Stories (IGS),kelmarin.
Menurut Abbas, luahan tersebut dibuat dengan niat mahu berkongsi dengan semua pengikutnya tentang hikmah di sebalik apa yang berlaku selain memberi inspirasi kepada anak-anak muda lain.
“Niat saya kongsikan itu sebab nak beritahu pada semua orang bahawa jangan pernah kecewa atau jangan pernah bersedih dengan setiap orang yang kita jumpa walaupun orang itu memberikan kita kedukaan dan kesedihan.
“Apa yang Allah SWT dah tetapkan pada kita sungguh besar hikmahnya. Macam saya, hikmah pertemuan kami dan kemudiannya berpisah, mungkin kerana Allah nak beri wanita itu jumpa jodoh sebenar dia.
“Saya pun mengaku, selepas hubungan kami putus, diri ini makin dekat dengan Allah, makin kenal dengan Al-Quran dan Nabi Muhammad SAW. Itu yang saya nak kongsikan sebenarnya,”katanya.
Abbas berkata demikian semasa dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, Abbas menerusi hantaran di IGS berkongsi sekeping gambar bersama seorang wanita berpurdah dipercayai bekas kekasihnya selain meluahkan rasa gembira kerana wanita tersebut telah bertemu jodoh dan berkahwin.
Selain itu, kata Abbas, dia benar-benar mengikhlaskan apa yang berlaku kerana percaya Allah akan menggantikan yang lebih baik buatnya selepas ini.
“Berapa lama saya berkawan dengan dia itu, tak apalah, saya simpan sendiri. Saya pun tak boleh bohong diri sendiri, bukan mudah untuk kita terima orang yang kita sayang kemudianya pergi dengan orang lain.
“Tapi kata orang, tahap cinta tertinggi itu adalah apabila kita mampu melepaskan orang yang kita sayang dan melihat dia bahagia bersama orang lain.Alhamdulillah, saya ikhlaskan dan reda, Allah nak ganti yang lebih baik.
“Benarlah kata orang, Allah hancurkan hati kita sebab Dia nak gantikan perasaan cinta kepada manusia itu hanya kepada-Nya dan Nabi Muhammad. Itu yang saya dapat,”katanya.
Dalam pada itu, kata Abbas, dia tidak akan serik untuk bercinta lagi selepas ini namun meletakkan sasaran untuk bercinta hanya selepas berkahwin.
“Nak kahwin pun saya kena stabilkan dulu kerjaya, kukuhkan kewangan dan lebihkan tanggungjawab dan bakti kepada keluarga dulu, barulahg fikir soal kahwin. Tapi kalau Allah izin kahwin awal,saya ikut saya ikut sahaja aturan-Nya,”katanya.