PETALING JAYA: Pelakon, Hanis Kamal Bakar, tampil membuat laporan polis selepas didakwa oleh seorang pengguna aplikasi TikTok bahawa dirinya sebagai bekas kekasih Ira Kazar.
Menerusi platform tersebut, individu berkenaan ada memuat naik satu perkongsian yang memperlihat foto lama pelakon itu bersama Ira selain kapsyen yang berbaur fitnah.
Menurut Hanis, dia memohon agar pemilik akaun @muslimahspa memadam perkongsian berkenaan jika enggan tindakan lebih lanjut dikenakan.
“Alhamdulillah selesai kami buat laporan untuk peringkat satu. Jika berdegil, kami akan teruskan dengan tindakan seterusnya. Kami terima nasihat dari pihak berkuasa.
“Maruah diri harus dijaga. Terima kasih kepada pihak berkuasa yang sangat banyak membantu kami berdua sebentar tadi (semalam).
“Terima kasih juga kepada kawan baik kami, Tuan Daus. Walaupun tiada di balai tetapi sempat menguruskan kedatangan kami,” katanya di Instagram.
Mengulas lanjut, Hanis berharap agar individu berkenaan dapat belajar dari kesalahan.
“Harap pihak di sana mohon awak padam video yang ada gambar pelakon Hanis Kamal Bakar.
“Jika tidak berbuat demikian, kami akan ke peringkat yang seterusnya. Kami masih ada hati dan perasaan. Harap jangan pijak kepala kami. Belajar dari kesilapan,” ujarnya.
Dalam perkongsian di Instastory sebelum ini, Hanis meluahkan rasa berang selepas gambarnya disalah guna individu berkenaan atas tujuan kandungan di platform tersebut sehingga didakwa telah menimbulkan fitnah.
“Kami akan mengambil tindakan ke atas Muslimah Spa. Motif awak apa? Jangan jadi manusia yang merosakkan hubungan sesama manusia. Jangan jadi perosak bangsa.
“Jangan yahudi sangat. Disebabkan kau nak menaikkan jumlah tontonan kandungan, sampai lupa kau menyalah guna hak orang lain #akanambiktindakan,” tulisnya.