KUALA LUMPUR : Pelakon, Idan Aedan nafi sengaja mencipta gosip bercinta dengan pelakon, Mia Sara Nasuha sebagai gimik untuk cepat popular.
Idan ketika ditemui berkata, dia tidak memerlukan gimik murahan semata-mata untuk menaikkan namanya dalam industri.
“Ia bukan gimik. Biasalah, apabila kita muat naik gambar dengan individu daripada jantina berbeza, mestilah akan timbul cerita-cerita begitu walaupun orang tak tahu cerita sebenar.
“Saya rasa, saya tak perlu gimik murahan sebegitu kerana saya lebih selesa melonjakkan nama saya menerusi lakonan,” katanya.
Ditanya sama ada dia menerima komen bersifat kecaman daripada peminat kedua-dua mereka, Idan, 18, menjelaskan bahawa dia tidak perlu memberi penjelasan kepada semua orang.
“Ada juga yang menghantar mesej kepada saya dan meluahkan kekecewaan kerana kisah itu. Saya pun dah jelaskan di Instagram Story sebelum ini dan dah jelaskan bahawa kami hanya berkawan.
“Peminat Mia memang ramai dan ada juga yang menghentam saya. Tapi, rasanya saya tak perlu nak jelaskan kepada semua orang. Ayah dia pun tak ada cakap apa-apa dan baik dengan saya,” katanya.
Diminta mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan hubungan persahabatan mereka semakin goyah selepas cerita cinta itu diperkatakan, Idan menafikannya.
“Bergaduh itu tidaklah. Kami tak ada masalah. Dia pun seorang yang memahami bagaimana situasi itu,” katanya.
Terbaharu, Idan bakal muncul menerusi filem terbaharu berkonsepkan bola sepak berjudul Anak Rimau yang bakal ditayangkan di pawagam pada 1 September.