KUALA LUMPUR : Walt Disney Asia Pasifik dan HYBE mengumumkan jalinan kerjasama kandungan global bagi membawakan karya-karya kreatif terunggul daripada industri muzik dan hiburan Korea Selatan ke persada dunia.
Menurut Ketua Kandungan APAC Walt Disney, Jessica Kam-Engle, perjanjian itu merangkumi pengedaran global lima tajuk kandungan utama daripada HYBE, termasuk dua siri eksklusif yang memaparkan ikon pop terkenal dunia, BTS, yang bakal disiarkan menerusi perkhidmatan penstriman Disney.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan HYBE bagi mempamerkan kandungan aslinya yang dicipta menerusi IP artis yang kukuh di perkhidmatan penstriman global kami, yang termasuk Disney+ Hotstar.
“Kerjasama ini menzahirkan aspirasi kreatif kami untuk bekerjasama dengan para pencipta kandungan ikonik serta bintang-bintang terkemuka di Asia Pasifik, supaya bakat mereka dapat dihayati oleh penonton arus perdana dalam pelbagai cara.
“Kami yakin, tajuk-tajuk baharu ini akan memikat hati pengguna di seluruh dunia, dan kami berazam untuk memperkenalkan lebih banyak kandungan muzik dalam perkhidmatan kami,”katanya.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif HYBE, Park Ji-won pula berkata, usaha ini menandakan permulaan satu kolaborasi jangka panjang bagi menyajikan pelbagai kandungan HYBE kepada peminat di seluruh dunia.
“Syarikat Walt Disney mempunyai sejarah yang lama dalam membina francais serta mempromosikan artis-artis muzik, dengan adanya pelbagai jenama dan platformnya yang tiada bandingan,”katanya.
Sementara itu, tiga projek daripada HYBE yang bakal disiarkan di perkhidmatan penstriman Disney termasuk, BTS: PERMISSION TO DANCE ON STAGE – LA yang menampilkan persembahan langsung BTS di Stadium Sofi, Los Angeles pada November 2021.
Menerusi tayangan itu, penonton dapat menyaksikan BTS mempersembahkan lagu-lagu popular Billboard “Butter” dan “Permission to Dance” dan ia merupakan kali pertama kumpulan itu bertemu dengan peminat secara peribadi sejak dua tahun lalu apabila tercetusnya pandemik.
Selain itu, rancangan realiti pelancongan, IN THE SOOP : Friendcation turut disediakan dan menampilkan barisan bintang termasuk V dari BTS, Seo-jun Park dari Itaewon Class, bintang Parasite Woo-shik Choi, Hyung-sik Park dan Peakboy.
Tayangan lain termasuk BTS MONUMENTS: BEYOND THE STAR, yang merupakan siri dokumentari yang mengikuti perjalanan perkembangan BTS yang mengujakan.
Dengan akses yang pertama seumpamanya kepada koleksi muzik dan rakaman sepanjang sembilan tahun lalu, siri ini akan memaparkan kehidupan harian, pemikiran dan perancangan ahli-ahli BTS, tatkala mereka bersedia membuka lembaran baharu mereka.
Siri dokumentari ini akan tersedia secara eksklusif di perkhidmatan penstriman Disney pada tahun depan.
Kerjasama strategik ini akan membolehkan Disney memperkenalkan satu siri tajuk baharu daripada HYBE dalam beberapa tahun akan datang, seiring dengan usaha platform hiburan itu untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti tinggi yang berdasarkan muzik dan IP artisnya.