Henti tugas duta ayam, Ali Puteh kecewa diperdaya - Utusan Malaysia

Henti tugas duta ayam, Ali Puteh kecewa diperdaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelawak, Ali Puteh mendedahkan, dia tidak lagi mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat pembekal ayam selepas dilantik sebagai duta April lalu.

Menurut Ali,  keputusan itu dibuat kerana enggan namanya terbabit dengan skandal penipuan syarikat berkenaan terutamanya yang membabitkan hal bekalan ayam kepada peniaga dan pembeli.

“Saya tidak mahu ada pihak yang berdepan dengan masalah apabila berurusan dengan syarikat pembekal itu selepas beberapa isu timbul.

“Terus-terang saya juga kecewa dengan apa yang terjadi apabila perjanjian antara saya dengan syarikat itu tidak berjalan seperti yang sepatutnya,” katanya.

Ali, 33, yang juga juri lokasi untuk siri jelajah Awesome Raja Lawak kesal kerana sudah memberikan sepenuh komitmen selaku duta namun tidak menerima sebarang bayaran seperti dijanjikan.

Tambah Ali, dia ralat kerana melepaskan beberapa tawaran bernilai puluhan ribu kerana mahu menumpukan perhatian sebagai duta dan usahawan ayam bersama syarikat itu seperti yang diminta.

“Saya terima tawaran kerana diperkenalkan orang seorang kawan yang memang saya kenal dan peluang perniagaan turut ditawarkan bagi saya.

“Saya melihat ia sebagai satu peluang terbaik untuk menjana pendapatan lebih stabil tapi perkara lain yang timbul,” katanya.

Ali berkata dia juga mempunyai kontrak sah dengan syarikat berkenaan dan sudah beberapa kali cuba mendapatkan penjelasan namun tiada jalan penyelesaian.

Malangnya, Ali menambah dia tidak merima sebarang bayaran dan faedah sepanjang bergelar duta meskipun sudah melakukan beberapa komitmen. 

“Sedih sebab saya lepaskan banyak tawaran lain untuk fokus pada peluang ini dan saya ada tanggungjawab serta tanggungan.

“Saya terima dan saya percaya ada hikmah cuma saya perlu tampil untuk membuat penjelasan berhubung hal ini. 

“Saya enggan masalah timbul dan nama saya terkait apabila syarikat ini membuat urus niaga. Saya tidak mahu ada pihak lain jadi mangsa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya