KUALA LUMPUR : Bekas pelakon, Datuk Dira Abu Zahar, 38, mencadangkan semua pembikin filem tempatan bertegas dengan hak penetapan jumlah pembahagian hasil kutipan filem dengan pemilik-pemilik panggung.
Menurutnya yang kini merupakan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Melaka, isu kutipan cukai yang heboh diperkatakan penggiat seni dan orang ramai kini pada asalnya tidak pernah ditetapkan oleh mana-mana pihak.
“Sebenarnya, jumlah yang diheboh-hebohkan ini tidak pernah ditetapkan oleh mana-mana pihak selain ia adalah persetujuan di antara kedua-dua pihak.
“Tidak pernah dijadikan sebagai asas dalam mana-mana perundangan filem tempatan.Tiada dalam mana-mana dasar yang ditetapkan oleh mana-mana pihak.
“Maka, penerbit punya hak untuk menetapkan jumlah pembahagian hasil kutipan filem mereka dgn pemilik panggung,”katanya.
Dira berkata demikian dalam ciapan yang dibuat di Twitter semalam dipercayai bagi mengulas berhubung isu kutipan cukai yang hangat menjadi perdebatan anak seni pada waktu ini.
Perkongsian maklumat itu, menurut Dira adalah berdasarkan peraturan yang tercatat di bawah peraturan 11 (1), peraturan perbadanan filem ( skim wajib tayang) 2005.
“Menerusi akta itu, ia memberi kebebasan kepada kedua-dua pihak untuk menentukan pembahagian hasil jualan tiket.
“Jadi, pembikin filem Malaysia tidak perlu memangsakan diri dan hasil karya sendiri dengan terus bersetuju dengan pembahagian cukai 50,60,70% ini. Kalau nak tukar boleh, asalkan kedua-dua belah pihak setuju.
“Perkongsian saya hanya sekadar untuk memaklumkan tentang hal yang sebenar. Bukan untuk lain-lain isu dan hal. Maaf andai ada yang terasa,”katanya.
Perkongsian Dira itu kemudiannya mendapat respons yang pelbagai daripada pengikut dan warganet.
Antara yang menarik ialah respons daripada pelakon, Amerul Affendi.
“Terima kasih atas perkongsian daripada YB. Selalunya penerbit ah yang tak ambil tahu dan ada juga yang sembunyikan hal ini. Kemudian melaga-lagakan yang dibawah ini,”katanya.