PETALING JAYA: Pelakon dan usahawan, Fazura, merakamkan penghargaan buat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, apabila turut sama menyokong filem epik pecah panggung, Mat Kilau.
Menerusi hantaran terbaharu di Instagram, pelakon itu memuat naik beberapa perkongsian gambar dan video bersama Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor ketika bersama menonton filem tersebut di sebuah panggung wayang, di ibu kota.
“Syukur Alhamdulillah. Patik dan suami merafak sembah dan menjunjung kasih Kebawah DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Norashikin kerana berkenan berangkat mencemar duli, untuk menonton filem Mat Kilau.
“Patik berdua menjunjung kasih di atas kurnia ini dan menjunjung barang titah nasihat Tuanku Sultan. Banyak yang patik sekalian belajar tentang sejarah Melayu daripada Tuanku.
“Sekali lagi, menjunjung kasih Kebawah DYMM Tuanku Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor,” katanya.
Filem terbaharu Syamsul Yusof iaitu Mat Kilau berjaya mencatatkan rekod penjualan tiket yang memberangsangkan sejak ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
Terbaharu, filem tersebut telah berjaya meraih kutipan tiket berjumlah RM47 juta selepas 11 hari ditayangkan di negara ini, Singapura dan Brunei.
Karya berdasarkan fakta sejarah yang diadaptasi ke layar perak itu telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula pada 23 Jun 2022.
Filem yang menelan belanja sebanyak RM8 juta itu diterbitkan Studio Kembara dan dibintangi barisan pelakon hebat seperti Datuk Jalaludin Hassan, Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan Asa’ri, Datuk Adi Putra, dan Wan Hanafi Su.