KUALA LUMPUR : Menerima rawatan di hospital kerana mengalami slipped dics di bahagian pinggang, pelawak dan selebriti serba boleh, Fad Bocey, 32, berdepan dengan kemungkinan perlu mengurangkan aktiviti lasak selama setahun.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, isterinya, Nur Syahirah A Rahman berkata, sakit yang dialami oleh Fad sebenarnya agak teruk dan setelah menerima rawatan di hospital hari ini, doktor memaklumkan dia perlu berehat bagi memberi ruang untuk pulih dengan baik.
“Kelmarin, dia sudah mula sakit dan apabila mengadu tak boleh pijak lantai kerana sakit sangat pada bahagian pinggang, saya terus tak berlengah dan bawa dia ke hospital untuk bertemu doktor pakar.
“Doktor mengesahkan Fad mengalami simptom slipped disc dan itulah penyebab dia tak boleh bergerak. Bukan tak boleh langsung, tapi pergerakannya sangat terbatas dan sakit.
“Memang doktor pun kata keadaannya agak teruk dan disebabkan itu perlu menjalani rawatan. Ada rawatan berteknologi baru untuk sakit ini dan tak sama dengan rawatan sebelum ini,”katanya.
Semalam, Syahirah berkongsi mengenai keadaan kesihatan Fad di akaun Instagram pelawak tersebut selain turut memuat naik sekeping gambar Fad terlantar di katil hospital.
Tambah Syahirah,selesai menjalani rawatan di hospital Avisena Shah Alam pada pagi tadi, Fad bagaimanapun masih perlu berada di wad untuk pemantauan seterusnya.
“Sekurang-kurangnya tiga hari dia perlu berada di wad.Tapi doktor pun ada kata, untuk memastikan Fad benar-benar pulih sepenuhnya, dia dinasihatkan untuk berehat dan kurangkan aktiviti lasak dalam tempoh enam hingga satu tahun.
“Kami sekeluarga memohon semua pihak untuk mendoakan kesihatan Fad dan semoga semuanya dipermudahkan,”katanya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada dia sebagai isteri juga akan mengawal pergerakan Fad demi memastikan kesihatannya pulih, Syahirah mengaku dia bimbang andai Fad kembali sakit.
“Memang kita orang perempuan ini selalu bising, dia selalu main bola. Tapi kali ini memang jadi betul-betul. Kita bising-bising pun tetap akan bagi dia pergi main bola juga sebab tahu itu hobi dia.
“Tapi lepas ini memang dia kena berpantanglah, tak boleh aktif langsung. Kenalah ikut nasihat doktor. Saya sebagai isteri mestilah nak tengok dia sihat dan pulih sebaiknya. Tak nak keadaannya jadi semakin teruk,”katanya.
Fad dan Syahirah mendirikan rumah tangga pada 14 Mac 2015.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu kembar, Favian Adrazin Hayyan dan Favian Adrazin Zayyan, 7, Nur Aminah Mishal, 5, dan Ibrahim Jibriel,setahun.