KUALA LUMPUR: “Perkara ini sangatlah sensitif,”.
Itu reaksi pelakon meningkat naik Nadhir Nasar berhubung video yang ditularkan oleh seorang pengguna Instagram yang mengulang siar video kandungan milik pelakon Jabir Meftah di TikTok dengan melabelkan golongan ‘kunyit’ atau homoseksual.
Menerusi video berkenaan menyaksikan beberapa peserta lain sedang mencium pipi.
Menurut Nadhir atau nama penuhnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 26, segelintir masyarakat terdedah dengan budaya barat secara khususnya golongan tersebut, sekali gus timbul pemikiran negatif dengan aksi mesra mereka.
“Kalau orang tidak terdedah dengan kelompok itu, perkara itu sebenarnya biasa sahaja sebab sahabat.
“Contoh budaya di Bangladesh, kemesraan yang dipamerkan seperti mencium pipi itu lazim.
“Tiada apa pun, kenapa nak tengok dan fikir negatif? Kenapa tidak ke arah positif,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.
Tenang dan tidak melatah dengan perbuatan oleh individu berkenaan, Nadhir menganggap itu sebagai satu proses kehidupan dan bergelar artis.
“Sebenarnya saya dibesarkan dalam keluarga yang optimis.
“Kalau dulu masa belajar, jika gagal ayah hanya cakap, ulang semester depan dan buat yang terbaik.
“Kalau sudah jatuh takkan jatuh lagi sebab sudah belajar dari proses sebelum itu. Jadi kena terima sebab itulah kehidupan. Alhamdulillah setakat ini saya rasa tenang,” ujarnya.