U.K’s, pop rock Melayu sebenar menggema Istana Budaya - Utusan Malaysia

U.K’s, pop rock Melayu sebenar menggema Istana Budaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Mengambil alih Panggung Sari di Istana Budaya (IB) selama dua hari pada hujung minggu lalu, barangkali, kesemua anggota kumpulan U.K’s kini sudah boleh tidur lena dalam senyuman memandangkan ‘beban’ komitmen pada konsert sudah selesai dengan jayanya.

Menerusi penganjuran Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun, kumpulan bertaraf legenda ini berupaya membuktikan bahawa faktor usia menjengah veteran, bukan halangan untuk mereka beraksi hebat persis zaman muda.

Apatah lagi, seleksi lagu-lagu mereka juga boleh dikatakan mahal dengan nostalgia dan di era 90-an, U.K’s boleh tahan popular setanding dengan barisan band-band lain pada waktu itu.

Tetapi, populariti kumpulan ini bagaikan berada dalam kategori yang tersendiri memandangkan, lagu-lagu mereka ada suntikan keunikan yang tidak ada pada mana-mana band lain.

Menariknya, keunikan itu nyata tetap disampaikan dengan baik oleh Amir, Denil (gitar), Olley (bes) dan Amirul (dram) di sepanjang dua malam tersebut meski 25 tahun telah berlalu.

Mengepalai angkatan U.K’s menerusi konsert tersebut,Amir, meski difahamkan tersekat dalam kondisi tekak bengkak sebelum konsert sebenar berlangsung, tetap memberikan komitmen yang jitu ketika menggalas tanggungjawab di pentas.

Malah, amat sukar untuk mencari kepincangan pada vokal yang dilontarkan oleh Amir sehinggakan terdengar bisik-bisik penonton di tempat duduk, suaranya bagaikan manusia yang ‘tertelan kaset’.

Serupa dan tidak berubah biarpun puluhan tahun telah berlalu!

Diiringi dengan String Chamber Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia, Amir membuka tirai dan membuai penonton dengan seleksi lagu hits seperti Kau Satu-Satunya, diikuti dengan medley, Kembali Mencari, Membara dan Berkat Kasihmu.

Satu mengenai persembahan ini, U.K’s selagi boleh enggan menghampakan peminat dengan sedaya upaya mendendangkan sebanyak mungkin lagu yang mampat terdapat dalam tujuh buah album mereka.

Malah, difahamkan, untuk konsert anjuran Mac Training Sdn. Bhd bersama RCD Concepts Sdn. Bhd ini, Amir terpaksa mengumpul lagu-lagu popular U.K’s yang dijadikan medley sebanyak enam set.
Antara segmen yang dianggap istimewa ialah medley lagu berjudul Satu Lilin Sehening Malam, Sudah Tiada Tunasnya dan Kita Akan Dijemput.

Ini kerana persembahan yang diiringi dengan petikan piano tersebut berupaya menyaksikan Amir melontar kepaduan vokalnya yang disahut dengan pujian penonton yang terpukau dengan pesonanya.

Menyambung acara, Amir dan anggota lainnya terus menghiburkan peminat dengan lagu-lagu hits lain seperti Cintaku, Berkat Kasihmu, Rhythm Si Jantung Hati, Kekasihku Di Menara, Pahit Akan Manis Akhirnya, Siapa Yang Rampas Cintamu dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.

Tidak cuma itu, sebagai penghargaan kepada Saari yang membawa nama U.K’s ke puncak, Amir turut berduet dengan komposer tersebut menerusi lagu Kita Sama Sahaja.

Namun, jangan tidak tahu, imej Saari pada malam persembahan juga menjadi perhatian ramai ya. Nampak lebih berani orang kata.

Penganjuran konsert ini juga telah disokong oleh rakan-rakan artis tanah air dan ia membuatkan U.K’s berasa begitu terharu dengan ‘kasih sayang’ yang ditonjolkan oleh teman dana anak seni seperjuangan.

Antara yang hadir termasuk Datuk M. Nasir dan isteri, Datin Marlia Musa, Ezad Lazim, Rahmad Mega dan Acong Sweet Child termasuk bekas Pengarah Artis & Repertoire BMG Music, Datuk Aziz Bakar dan isteri, Datin Norma Norell.

Berakhirnya konsert ini, dapat disimpulkan bahawa U.K’s yang telah berada pada tahap dan kedudukan tersendiri dalam industri, masih lagi memiliki ‘bisanya’.

Walaupun zaman dan generasi muzik sudah banyak menyaksikan peralihan baru yang lebih kekinian, siapa kata tiada orang yang mahu mendengar lagu-lagu pop rock Melayu seperti yang dibawakan oleh kumpulan ini?

Buang tanggapan itu kerana yang pasti, U.K’s menerusi konsert reunion 25 tahun ini telah membuktikan bahawa rock Melayu boleh sampai ke pentas terkemuka seperti di IB.

Tahniah buat kumpulan legenda ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya